LEGENDA berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, memberi bayangan awal mengenai masa depan kariernya sebagai atlet apabila menyatakan bahawa Sukan Olimpik Los Angeles 2028 tidak termasuk dalam rancangannya.

Meskipun belum membuat pengumuman rasmi mengenai persaraannya, kenyataan ini adalah petanda jelas bahawa beliau mungkin akan menamatkan kariernya sebagai atlet profesional.

Dalam satu temu bual di Majlis Meet & Greet Bright Cow yang berlangsung di IOI City Mall,Putrajaya, Azizulhasni menyatakan bahawa dia tidak melihat dirinya akan bertanding sebagai atlet dalam Sukan Olimpik LA 2028.

Sebaliknya, beliau mahu membantu pelumba muda negara, termasuk Shah Firdaus Sahrom dan adiknya, Ridwan, dalam misi mereka untuk meraih pingat emas pada temasya sukan berprestij itu.

“Saya tidak nampak diri saya akan ke LA 2028 sebagai atlet,

“Mungkin saya boleh membantu Shah Firdaus dan Ridwan, apa sahaja yang boleh saya lakukan untuk menyokong mereka. Tetapi LA sudah pasti bukan untuk saya,” katanya.

Datuk Azizulhasni Awang ketika bertanding di Olimpik Paris 2024. |FOTO MOM

Azizulhasni yang terkenal dengan gelaran The Pocket Rocketman juga menegaskan bahawa dia akan pulang ke Melbourne untuk bersama keluarganya dan berbincang mengenai masa depannya sebelum membuat keputusan muktamad.

Beliau merancang untuk berbincang dengan jurulatihnya, John Beasley, serta Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan, dan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menentukan langkah seterusnya.

“Saya mahu berbincang dengan John dahulu, dengan Hannah Yeoh dan MSN untuk merancang masa depan saya,

“Ada terlalu banyak tawaran, bukan sekadar di Malaysia, malah di luar negara juga. Namun, masih terlalu awal untuk membuat keputusan ke arah itu kerana saya juga masih berusia 36 tahun,” katanya.

Sebagai rekod, Azizulhasni menamatkan kempen Sukan Olimpik Paris 2024 tanpa sebarang pingat selepas dibatalkan penyertaan dalam pusingan pertama acara keirin akibat kesalahan memintas derny terlalu awal.

Namun, walaupun tidak beraksi di LA 2028, Azizulhasni terus komited untuk memastikan warisan kejayaannya diteruskan oleh generasi baru pelumba basikal trek negara.