HARAPAN skuad Harimau Malaya sekurang-kurangnya untuk mendapatkan satu mata di hadapan penyokong sendiri tidak kesampaian apabila sekali lagi dihampakan Oman dengan kekalahan 2-0 sekali gus kekalahan kedua berturut-turut.
Dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, pengendali Malaysia, Kim Pan-gon melakukan beberapa pertukaran taktikal dengan lebih bercorak menyerang berbanding ketika aksi di gelanggang lawan minggu lalu.
Hasilnya Arif Aiman hampir meletakkan Malaysia dihadapan pada minit pertama perlawanan namun percubaannya dinafikan penjaga gol Oman, Ibrahim Al Mukhaini.
Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027
FT: Malaysia 0-2 Oman
⚽️ Omer Al Malki 45'+4 (p), Mubarak Al Ghafri 90'+4'#HarimauMalaya#WCQ2026 pic.twitter.com/VUqBpu8Wbq
— Flash Sukan (@FlashSukan) March 26, 2024
Malaysia banyak menguasai permainan namun Oman juga berjaya mencemaskan barisan benteng negara namun Syihan Hazmi membuktikan mengapa dia dipilih sebagai penerima anugerah Penjaga Gol Terbaik Anugerah Bola Sepak Kebangsaan dengan beberapa aksi menyelamat yang cemerlang.
Namun nasib tidak menyebelahi dirinya apabila terpaksa melakukan kekasaran ke atas penyerang Oman sekali gus menghadiahkan penalti yang mudah disempurnakan oleh Omer Al Malki untuk menamatkan aksi babak pertama.
Bersambung babak kedua, seperti juga pada babak pertama, Malaysia hampir menyamakan kedudukan menerusi Brendan Gan namun masih gagal menemui sasaran.
Pan-gon melakukan beberapa pertukaran bagi menambah sengat barisan serangan ketika Oman dilihat lebih banyak bertahan untuk mempertahankan kelebihan tipis dan tiga mata berharga dari laman lawan.
Oman menambah kelebihan pada minit ke-90 apabila Mubarak Al Ghafri mudah menolak masuk gol kedua sekaligus mengecewakan lebih 26,000 penyokong yang hadir.
Kekalahan kedua ini menyaksikan Malaysia kekal di tangga ketiga dengan enam mata manakala Oman dipintas Kyrgyzstan ke tangga kedua berkongsi sembilan mata tetapi dipisahkan dengan perbezaan jaringan.