TARUHAN tiga mata penuh menjadi intipati utama aksi ketiga Kumpulan D, Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 antara Oman dan Malaysia yang bakal berlangsung di Stadium Kompleks Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada Khamis.
Oman semestinya turun sebagai pilihan kerana selain mempunyai ranking yang lebih tinggi dari Malaysia, mereka juga bermain di laman sendiri serta mempunyai ketua jurulatih baharu yang pastinya mahu mencipta kemenangan pertamanya di Oman.
Malaysia bagaimanapun tidak mahu menyerah kalah kerana mempunyai momentum yang baik apabila mendahului kumpulan dengan enam mata selepas dua perlawanan dan pastinya mahu memastikan kedudukan teratas itu kekal untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur.
Dari sudut pemilihan pemain, pengendali Oman Silhavy Jaroslav membuat pertukaran hampir 50 peratus pemain dari skuad yang gagal di Piala Asia namun para pemainnya masih cuba menyesuaikan diri dengan arahan taktikal yang diberikan.
Oman juga kehilangan dua tonggak utama iaitu penyerang prolifik, Abdul Aziz Al-Muqbali dan Khalid Al-Ghatrifi yang mengalami kecederaan dan terpaksa diketepikan dalam tempoh yang agak panjang.
Di kem Malaysia pula, Kim Pan-gon mempunyai lebih banyak pilihan pemain dengan kesemua 24 pemain berada dalam keadaan baik meskipun berdepan kekangan kecergasan permainan ekoran liga yang masih belum bermula.
Latihan rasmi skuad Harimau Malaya di Stadium Kompleks Sukan Sultan Qaboos di Muscat menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Foto: Izari Hj Rosli
Lagi gambar layari: https://t.co/kUEF0LJq0u#harimaumalaya#WCQ2026#WeAre26 pic.twitter.com/OoiRK1JfPr
— Flash Sukan (@FlashSukan) March 20, 2024
Pan-gon juga sudah mempunyai idea siapa yang bakal diturunkan dengan kesemua pemain juga bersedia untuk bermain selepas menjalani latihan berintensiti tinggi selama dua minggu.
Oman pastinya akan bermain dengan corak menyerang untuk mencari gol awal di hadapan penyokong sendiri namun taktikal ini mungkin boleh memakan diri kerana Malaysia mempunyai kekuatan dalam serangan balas.
Malah Silhavy juga turut mengakui kekuatan barisan serangan Malaysia yang sering menggunakan kelajuan sayap kiri dan kanan menerusi Arif Aiman Hanapi dan Faisal Halim yang mampu merobek gawang mereka.
VIDEO:
Sesi latihan hari terakhir Harimau Malaya sebelum bertemu pasukan Oman di Muscat, Omanhttps://t.co/nJFvDWva2I— Flash Sukan (@FlashSukan) March 20, 2024
Harimau Malaya bagaimanapun masih perlu memperbaiki bahagian pertahanan dan ditambah pula kehilangan dua pemain, Matt Davies dan Junior Eldstal sekaligus merencatkan sedikit persiapan di benteng skuad kebangsaan.
Kim Pan-gon dijangka menggunakan taktikal menyerap tekanan terlebih dahulu dengan mengecewakan lawan pada 20 minit pertama sebelum menggunakan taktikal serangan balas sebagai senjata untuk memerangkap Oman.
Ini adalah pertemuan ketujuh kedua-dua pasukan dengan Oman memiliki kelebihan memenangi tiga kali dengan seri sekali dan kalah dua kali tetapi kali terakhir pertemuan menyaksikan Oman menang 6-0 pada 2015 di Muscat.
Harimau Malaya mensasarkan satu mata kerana apa sahaja keputusan positif di Muscat akan mengekalkan kedudukan teratas kumpulan manakala Oman sangat memerlukan tiga mata untuk kembali menghidupkan peluang dalam Kumpulan D.
Barisan Kemungkinan Malaysia
Syihan Hazmi (PG), Corbin Ong, Shahrul Saad, Dion Cools (K), Daniel Ting, Syamer Kutty Abba, Stuart Wilkin, Paulo Josue, Arif Aiman Hanapi, Faisal Halim dan Romel Morales