PASUKAN ranking ke-80 dunia, Oman melakukan rombakan ketara dalam barisan pemainnya terutama di bahagian pertahanan menjelang pertembungan menentang Malaysia untuk aksi ketiga dan keempat peringkat Kumpulan D, Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Perubahan itu dilakukan oleh ketua jurulatih baharunya, Jaroslav Silhavy yang dilantik sejurus tamat kempen Piala Asia 2023 ketika dia mengumumkan senarai 26 pemain ke kem latihan pusat.

Berdasarkan senarai yang dikongsikan di platform media sosial rasmi pasukan, Jaroslav yang berasal dari Republik Czech hanya mengekalkan tiga sahaja pemain pertahanan daripada skuad Piala Asia 2023 yang tersingkir di peringkat kumpulan.

Tiga pemain tersebut ialah Ahmed Al-Khamisi, Ghanim Al-Habashi dan Ahmed Al-Kaabi disamping membawa empat pertahanan baharu iaitu Al-Muslami, Khalid Al-Ghatrifi, Hassan Al-Ajmi dan Abdul Aziz Al-Shamousi.

Pada masa yang sama, Jaroslav turut melakukan sedikit perubahan di bahagian serangannya dengan memanggil tiga pemain baharu iaitu Ali Al-Busaidi, Mohammed Al-Ghafri dan Abdul Aziz Al-Muqbali ditambah dengan empat muka sedia ada, Zahir Al-Aghbari, Abdul Rahman Al-Mushaifri, Muhsen Al-Ghassani dan Issam Al-Sabhi.

Hanya bahagian tengah memperlihatkan perubahan minoriti dengan hanya seorang pemain baharu iaitu Hatem Al-Rushadi dipanggil selebihnya adalah tonggak skuad Piala Asia 2023 iaitu Fahmi Durbin, Harib Al-Saadi, Abdullah Fawaz, Salaah Al-Yahyaei, Omar Al-Malki, Arshad Al-Alawi, Jameel Al-Yahmadi dan Musaab Al-Mamari.

Manakala barisan penjaga gol pula tidak dilakukan sebarang perubahan dengan mengekalkan ketiga-tiga penjaga golnya; Ibrahim Al-Mukhaini, Faiyz Issa Al-Rusheidi dan Ahmed Faraj Al-Rawahi.

Oman adalah satu lawan yang misteri buat Harimau Malaya kerana perubahan jurulatih menyaksikan tiada input yang diperolehi dan menyukarkan barisan kejurulatihan melakukan analisis namum Kim Pan-gon yakin mereka mempunyai sesuatu untuk mengejutkan Oman.

Skuad Oman akan bertemu Malaysia di Muscat pada 21 Mac sebelum bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil pada 26 Mac dengan peluang untuk mengembalikan keyakinan penyokong selepas aksi hambar di Piala Asia.