AKSI cemerlang dalam gelanggang sehingga tular ke seluruh dunia, jaguh Muay Thai negara, Muhammad Johan ‘Jojo’ Ghazali Zulfikar bakal berdepan juara dunia Muay Thai Flyweight, Rodtang Jitmuangnon pada masa akan datang.
Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia, Datuk Shahnaz Azmi berkata, beliau yakin, pertemuan itu akan berlaku.
Tegas Shahnaz, jika pihak One Championship memutuskan untuk mengatur perlawanan menentang Rodtang, dia yakin bahawa petarung negara berusia 17 tahun itu mampu menumbangkan idolanya berasal dari Thailand itu.
Bagaimanapun, Shahnaz mengakui pihak penganjur One Championship akan mengatur lawan yang sukar terlebih dahulu kepada Jojo, sebelum merealisasikan aksi hangat dinanti-nantikan itu.
“Kita memang sangat bangga dengan pencapaian Jojo kerana tahun lalu dia baru bergelar juara remaja dunia. Apapun, tahun depan adalah permulaan bagi dia, dengan rekod 5-0 di One Championship dan sasaran utamanya adalah untuk memburu tali pinggang dengan gelaran dunia di One Championship selepas ini.
“Saya yakin, selepas ini Jojo akan berdepan lawan yang lebih kuat dan tidak mustahil dia berpeluang berdepan Rodtang tetapi terpulang kepada pihak penganjur One Championship untuk menentukannya.
“Kalau tanya saya, sebagai juara, saya yakin dia boleh kalahkan Rodtang tetapi dia perlukan lebih banyak pengalaman lagi untuk berdepan idolanya itu,” katanya, ditemui semalam selepas Mesyuarat Majlis Eksekutif Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Bukit Kiara semalam.
Sekiranya Jojo terus menampilkan aksi agresif dengan terus mencatat kemenangan, Shahnaz yakin, tiada yang mustahil untuk jaguh muay thai negara itu berpeluang mencabar mana-mana petarung selepas ini.
“Insha-Allah jika dia menang lagi selepas ini beliau memang ada peluang untuk mencabar mana-mana atlet dalam itu dan terpulang kepada One Championship sendiri untuk menentukannya.
“Tetapi objektif Jojo adalah untuk mendapatkan tali pinggang One Championship dahulu dan dia nak jadi juara dunia. Buat masa ini dia perlu fokus pada SPM sebelum meneruskan misi untuk menakluk kejayaan di pentas lebih tinggi,” ujarnya.