SIAPA tidak kenal dengan legenda bola sepak Perak, Ishsam Shahruddin ? Dia merupakan pemain terhebat pada eranya dan pernah merangkul gelaran bersama skuad Seladang ketika itu.
Mula mewakili Perak pada 1984 , perjalanan Ishsam penuh suka dan duka terutama pernah mengalami isu kecederaan serius pada lututnya.
“Permainan bola sepak sudah sebati dengan diri saya dan saya sempat beramah mesra dengan para peserta sambil saya mengenang kembali zaman ketika bermain bagi pasukan Negeri Perak awal tahun 90-an dulu.
“Once a footballer always a footballer,” katanya yang dilahirkan di Sungkai, Perak.
Ishsam yang mesra dipanggil Sham memberitahu karier bolanya bermula sebagai centre striker, satu posisi yang tanggungjawabnya amat besar.
“Perjalanan hidup saya bermula sebagai pemain bola sepak, sukan yang sangat dekat dengan hati sehingga ke hari ini.
“Posisi ‘centre striker’ ini membuatkan saya melatih diri untuk berdisiplin, fokus dan mengatur langkah depan sebab matlamat kita hanya satu iaitu kemenangan pasukan kita,” katanya ketika hadir ke Pertandingan Bola Sepak 7 Sebelah Piala YDP anjuran Persatuan Bola Sepak Batang Padang baru-baru ini.
Untuk rekod, Ishsam telah bermain hampir keseluruhan karier bola sepaknya bersama Perak FA, kecuali semusim bersama Negeri Sembilan FA. Dia telah memenangi kejuaraan Piala FA bersama Perak pada tahun 1990.
Setelah bersara dari bermain, Ishsam telah menjadi seorang usahawan dan kontraktor, dan turut bergiat aktif dalam politik.
Dia sempat menjawat naib presiden dan juga penolong pengurus skuad senior dan juga bertanggungjawab sebagai pengurus pasukan Piala Presiden Perak (bawah-23 tahun).