STADIUM Lumpinee Boxing, Bangkok bakal menjadi saksi seorang lagi pejuang Muay Thai negara Ahmad Nor Iman Aliff Rakib bertarung di gelanggan One Championship pada Sabtu ini.
Nor Iman Aliff atau lebih dikenal Aliff Sor Dechapan turun ke gelanggang bagi merebut gelaran Strawweight Muay Thai berdepan dengan Ellis Badr Barboza dalam pertarungan One Fight Night 23.
Bagi peminat Muay Thai, nama Aliff Sor Dechapan bukanlah baharu di gelanggang perjuangan ini memandangkan atlet kelahiran Rantau Panjang, Kelantan ini telah mencipta nama dan merangkul gelaran di pelbagai peringkat kejohanan.
Lebih menarik lagi, Aliff melakar nama dengan usaha keras sejak berusia 14 tahun lagi tanpa menggunakan gelaran bapanya selaku petinju legenda negara, Rakib Ahmad.
Kemuncak Aliff dalam kariernya muncul tahun lalu, apabila berjaya meraih kontrak bernilai USD$100,000 (RM460,000) serta turut mendapat bonus bernilai RM46,900 pada November tahun lalu.
Kejayaan itu itu menyaksikan Aliff mengiringi seorang lagi pejuang muda Muay Thai negara, Johan ‘Jojo’ Ghazali yang turut menyinar di pentas One Championship.
Bagi pertembungan kali ini, Aliff mengidamkan gelaran juar dunia kategori Stawweight ini namun dijangka bukan mudah berdepan dengan Barboza yang merupakan juara Muay Thai WBC European dan telah mencatat rekod kemenangan empat kali berturut-turut dalam tempoh 126 hari sebelum berjaya melangkah kaki ke saingan One Championship.
Foto kredit: IG aliff_rakib