LEGENDA skuasy negara, Ong Beng Hee menamatkan khidmat selama tiga tahun di Amerika Syarikat (AS) dan beralih arah ke Tanah Besar China.

Beliau yang menjadi ketua jurulatih skuasy kebangsaan AS, akan menamatkan kontrak selama tiga tahun hujung bulan ini dan memberi tumpuan kepada pembukaan akademi skuasy di China pula.

Menurutnya, sejak skuasy disahkan berada dalam kalendar Sukan Olimpik pada tahun lalu, sukan itu mula mendapat pengiktirafan di China.

“Bagi memenuhi permintaan dan peningkatan pemain muda di China, banyak potensi yang ada dan Dream Squash yakin memiliki kemampuan untuk memberi impak kepada pembangunan skyasy di China, sekali gus memanfaatkan sukan itu kepada skala antarabangsa yang lebih besar.

“Akademi kami terbuka kepada pemain dari seluruh negara kerana kami amat teruja untuk menjadikannnya sebagai hub Komuniti Skuasy Asia,” kata Beng Hee ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Ong Beng Hee (lima, kanan) akan beralih ke China selepas ini.

Menurutnya lagi, pengalamannya sebagai pemain dan jurulatih Malaysia, Qatar serta AS, beliau yakin dapat menawarkankomuniti skuasy peluang untuk memajukan sukan itu.

“Ketika saya berada di AS, saya berjaya membentuk hubungan yang kuat dengan American School Squash Association (ASSA).

“Kami menyasarkan untuk melahirkan pemain yang cemerlang dan akan terus berkerjasama dengan ASSA pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan rasa bangga dapat berkhidmat sebagai ketua jurulatih AS dan gembira berkerja sama dengan Skuasy AS.

“Sepanjang tiga tahun, saya meraih pengalaman berharga dan berteruma kasih kepada pemain, pengurusan pasukan, rakan jurulatih, penaja dan ibu bapa yang tidak putus memberi sokongan.

“Sepanjang tiga tahun di AS, pasukan wanita dan lelaki telah mencapai tahap tertinggi dan saya berbangga menjadi penyumbang prestasi,” ujar Beng Hee.

Antara pencapaian Beng Hee sebagai ketua jurulatih AS, termasuk membawa pemain lelaki Timmy Brownell mara ke suku akhir Terbuka British dan menjadi pemain lelaki pertama AS melonjak dari ranking 120 ke Top 30 dunia.

Pasukan wanita pula muncul naib juara berpasukan dunia manakala pasukan lelaki di kedudukan keenam dunia, satu pencapaian tertinggi yang pernah dicapai AS.