GANDINGAN beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi mejadi wakil tunggal negara mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Jerman 2024 selepas menyingkirkan cabaran Lu Ching Yao-Yang Pon Han dalam perlawanan yang berlangsung di Dewan Sukan Westenergie, Mulheim, Jerman.

Dilabel sebagai pilihan utama kejohanan, Yew Sin-Ee Yi tidak berdepan masalah mengatasi lawan dari Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han 21-19, 21-10  dalam pertarungan yang memakan masa 39 minit itu.

Separuh akhir Terbuka Jerman menjadi pencapaian terbaik Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tahun ini, selepas ke suku akhir Terbuka Malaysia awal Januari lalu. 

Kemaraan mereka ke separuh akhir itu membuka pertemuan dengan pilihan ketiga kejohanan dari China, He Ji Ting-Ren Xiang Yu, yang mengatasi pasangan tuan rumah, Mark Lamfuss-Marvin Seidel 15-21, 22-20, 21-15.

Bagaimanapun kemaraan mereka gagal diteruskan dua lagi beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang terkandas di suku akhir selepas ditunjukkan jalan keluar lawan masing-masing.

Goh Soon Huat-Shevon Lai, terpaksa akur, kandas di suku akhir.

Tan Kian Meng-Lai Pei Jing kurang bernasib baik di Terbuka Jerman kali ini.

Soon Huat-Shevon Lai yang diletakkan sebagai pilihan keempat tewas 19-21, 26-28 kepada beregu dari Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati dalam aksi yang berlangsung 47 minit.

Manakala Kian Meng-Pei Jing tunduk kepada pilihan ketiga dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet, 21-13, 13-21, 11-21 dalam masa 52 minit.