TIDAK meletakkan sebarang sasaran di saingan Terbuka Malaysia minggu hadapan, namun gandingan profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tidak ada pilihan selain meningkatkan tekanan dalam diri.

Semua tekanan yang diperlukan gandingan yang berada di ranking ke-12 dunia itu, demi memastikan mereka mengejar kelompok lapan terbaik sekali gus melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris.

Menurut Yew Sin, tempoh rehat selama lima minggu cukup untuk dia menyiapkan diri dan cukup buat pasangannya, Ee Yi menjalani rehabilitasi akibat kecederaan belakang yang dialami pada Kumamoto Masters, Jepun.

“Ee Yi bertambah baik dan kondisi saya pula sudah kembali normal.

“Di Terbuka Malaysia, saya tidak meletakkan sasaran dan mengambil pendekatan langkah demi langkah kerana kita perlu sedar bahawa pemain beregu lelaki ketika ini, tiada mana-mana pemain yang boleh mengakui mereka mampu menang sebelum turun ke gelanggang,” kata Yew Sin, ditemui selepas menjalani latihan di Pioneer Badminton Centre, Endah Parade.

Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tetap bersemangat mahu menamatkan saingan Terbuka Malaysia di kedudukan terbaik, sekali gus membuka peluang layak ke Olimpik Paris.

Menurutnya, memasuki musim baharu, semua pemain akan tampil dengan ‘mood’ segar dan apa juga keputusan boleh terjadi pada Terbuka Malaysia nanti.

Pasangan itu akan membuka saingan Terbuka Malaysia menentang pasangan Taiwan, Lu Ching Yao-Yang Po Han di pusingan pertama, sebelum berdepan cabaran lebih getir sama ada pilihan keempat dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen atau pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin.

Berdasarkan rekod pertemuan dengan pemain Taiwan itu, mereka mempunyai peluang seimbang apabila Yew Sin-Ee Yi menang empat daripada tujuh pertemuan sebelum ini.

Pada edisi tahun lalu, Yew Sin-Ee Yi terkandas di suku akhir Terbuka Malaysia selepas tewas kepada gandingan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.