PERTAHANAN import Kelantan Darul Naim (KDN) FC, Kim Likwan mendedahkan bahawa moral pemain Sang Kijang Emas berada pada tahap terbaik dan semakin bermotivasi untuk menghadapi saingan Liga Super seterusnya, bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Menurutnya lagi, persiapan rapi juga sedang giat dijalankan oleh rakan sepasukan bagi memastikan misi yang cukup besar iaitu memburu kemenangan pada aksi yang akan berlangsung pada 12 Julai nanti dapat direalisasikan.
Kegigihan skuad kendalian Park Jaehong untuk mendahului KDA FC pada aksi seterusnya terus bersemarak apabila mereka mendapat tonik tambahan setelah membenam skuad PDRM FC 1-0 pada aksi Liga Super tempoh hari.
“Setelah menewaskan PDRM, kami diberi cuti rehat oleh jurulatih, kini sesi latihan telah berlangsung giat untuk persediaan perlawanan dengan Kedah.
“Saya lihat rakan-rakan sangat bersemangat dan tampak mahu mencipta keputusan positif. Saya harap persiapan kami lancar dalam tempoh ini sebelum beraksi di sana.
“Kami semestinya tidak boleh leka. Betul, menang baru-baru ini melegakan kami tetapi kemenangan itu akan disusuli harapan lebih besar dari penyokong,” ujar pemain berusia 21 tahun itu.
Dalam perkembangan sama, pemain kelahiran Korea Selatan itu juga sedia untuk mempamerkan aksi berintensiti tinggi demi menjuarai hati penyokong sekali gus dapat meraih keputusan terbaik buat KDN FC.
“Kelantan Darul Naim FC ada beberapa lagi perlawanan penting serta getir yang memerlukan kami beraksi pada tahap tinggi. Jadi, kita akan hadapi satu persatu bermula dengan Kedah dan berharap mendapat kedudukan lebih baik sebelum tamat pusingan pertama Liga Super.
“Saya juga seperti jurulatih serta rakan-rakan yang lain ingin lihat para penyokong sentiasa memberi sokongan. Saya yakin jika kita bersatu padu, semua rintangan dapat diharungi dan meletakkan Kelantan Darul Naim FC pada tempat yang kita inginkan,” tambahnya.
Kelantan Darul Naim FC bakal bertembung dengan KDA FC untuk perlawanan kelima Liga Super 2024/25 yang dijadualkan berlangsung pada 12 Julai depan di Stadium Darul Aman, Alor Setar.