OPPA memasang impian besar dalam acara beregu (double) apabila menyuarakan keyakinan untuk bertemu Thailand di pentas final.
Mereka menyifatkan impian itu sebagai misi membalas dendam ke atas skuad Gajah Perang itu selepas kecundang dalam aksi peringkat kumpulan pada Ahad.
Berdasarkan laluan ke final, Korea Selatan dijangka bertemu Malaysia di suku akhir dan mereka yakin tiada masalah untuk menumpaskan anak buah Ahmad Jais Baharun.
Sekiranya mengatasi Malaysia, mereka berkemungkinan berdepan Myanmar di separuh akhir sebelum membuat perhitungan dengan Thailand di final.
Pemain Korea Selatan, Shin Heenseop yakin keazaman membalas dendam kepada Thailand akan memimpin mereka mengatasi Malaysia di suku akhir.
“Biarpun kalah kepada Thailand (10-15, 6-15) dalam perlawanan pertama, kami bangkit mempamerkan aksi terbaik untuk mengalahkan Singapura. Kemenangan ini melonjakan semangat ini kami.
“Apapun, keyakinan kami untuk tewaskan Malaysia cukup tinggi, kami bermain secara berpasukan dan mempunyai semangat juang yang tinggi. Malaysia juga tertekan kerana turun selaku tuan rumah.
“Selepas tewaskan Malaysia di suku akhir, kami akan berdepan Myanmar di separuh akhir dan mengulangi aksi peringkat kumpulan berdepan Thailand di Final dan kami akan cuba balas dendam untuk menang,” kata Heenseop, yang membuat penampilan pertama bersama negaranya.
Korea Selatan meraih tonik terbaik dalam acara double apabila muncul sebagai naib juara Kumpulan D selepas mencatat kemenangan ke atas Singapura 15-12, 15-10 dalam tempoh 45 minit.