[EKSKLUSIF]

“SAYA orang baharu dalam bidang bola sepak dibandingkan dengan arwah Datuk Ahmad Basri Akil,” luah pemilik Kedah Darul Aman FC (KDAFC) Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar merendah diri.

Mohd Daud berkongsi bahawa Allahyarham (Ahmad Basri) dijulang sebagai bapa bola sepak negeri Jelapang padi ini yang telah memastikan pembangunan yang begitu ketara sehingga menjadi pasukan yang disegani oleh pihak lawan.

“Ketika era kejayaan Basri saya bukan menjadi penganalisis sukan ini tetapi hanya sekadar penyokong setia pasukan Hijau Kuning tetapi apa yang buat saya berminat menceburkan diri dalam usaha membina semula pasukan Kedah ialah jenama (branding).

“Betul kejayaan pasukan itu penting tetapi apa yang lebih utama ialah memantapkan sesebuah kelab sebab kemenangan ialah sesuatu yang di impikan oleh penyokong, peminat, pegawai pasukan serta seluruh rakyat Kedah tidak kira di mana mereka berada,”kongsinya secara eksklusif kepada FLASH SUKAN.

Menurutnya, sebagai sebuah kelab mereka memerlukan suatu kewangan yang kukuh, pengurusan yang cekap dan tidak ada sebarang jawatan yang tidak diperlukan demi kejayaan pasukan iaitu tidak lebih ataupun kurang.

“Saya mahu menjadikan pasukan Kedah ini sebagai pentas utama sebagai satu katalis kepada perniagaan di negeri ini berteraskan Kedah FC yang sebelum tidak dapat dilakukan kerana Kedah FC ditaja oleh kerajaan negeri.

“Inilah benda yang saya cuba buat kerana saya yakin perkara ini tidak difikirkan oleh mana-mana pemikir bola sepak dan juga adalah orang korporat dan ahli perniagaan yang bermula dari peringkat bawah hingga ke atas.

“Saya ingin jadikan Kedah FC satu jenama seperti jenama Manchester United, Manchester City dan Liverpool kerana mereka ini dikenali seluruh dunia. Memang betul jurulatih penting tetapi jenama lebih penting, pemain penting tetapi jenama lebih penting dan pemilik penting tetapi jenama itu lebih penting.

“Apa lagi yang ada kesemuanya tidak penting yang utama adalah satu jenama dan bila orang melihat jenama itu di hotel, restoran, sebuah klinik dan hospital sebagai rakan kepada Kedah FC dan sudah pasti nilainya akan bertambah secara tersendiri,” jelasnya.

Kata beliau, jenama itu adalah satu ekuiti baharu kepada rakyat Kedah di samping memburu kejayaan yang menjadi harapan ribuan peminat setia serta rakyat negeri ini dan beliau ingin membina jenama ini lebih mantap dari kejayaan dan kemenangan.

“Kalau kita berjaya orang akan menjadikan kita sebagai role model. Kita akan menguruskan bakat muda, menguruskan pegawai, pemain dan juga masyarakat kita serta ekosistem. Apabila saya letakkan SOP yang baharu dan yang lengkap dan lebih mencabar (competitive) kemenangan akan datang dengan sendiri.

“Tahun lalu saya sudah bersama pasukan Kedah tetapi hanya sebagai penasihat sahaja dan tidak dapat lakukan apa apa tetapi tahun ini setelah menjadi pemilik sejak Ogos tahun lalu dengan memiliki majority share dan saya dapat menjalankan segala perancangan yang saya sediakan sebelum ini.

“Apabila saya datang ke Kedah pada September 2021 dan bergaul mesra dengan pegawai Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan penyokong serta mengikuti sosial media dan media utama tanah air… tercetus dalam hati saya perasaan WOW!

“Pasukan Kedah ini bukan pemain, bukan jurulatih kerana semua yang ada akan datang pergi tetapi nama pasukan Kedah akan terus kekal,” ujar Mohd Daud.

Pra musim pasukan di Turki.

Katanya, beliau terfikir arwah Basri berjaya membawa kejayaan kepada pasukan Kerana kedudukannya sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri dan mendapat sokongan daripada  Menteri Besar Kedah ketika itu.

“Kalau saya mahu mengembalikan Kedah ke zaman kegemilangannya saya perlu ada kuasa untuk membuat keputusan dan mengubah mentaliti kesemua pegawai, peminat setia serta rakyat negeri dan saya hanya mampu melakukannya dengan menjadi pemiliknya.

“Kini dengan kuasa yang ada pada saya serta nasihat daripada semua pegawai serta peminat saya mampu melaksanakan impian saya meletakkan jenama Kedah yang menguntungkan kesemua yang terbabit dengan sukan ini.

“Ketua Pegawai Eksekutif KDAFC Khamal Idris Ali menjadi orang harapan saya bagi melaksanakan segala cadangan dan impian saya kerana kebanyakan masa saya berada di luar negara terlibat dengan perniagaan.

“Semua kerja bagi mendapatkan ketua jurulatih, pembantunya serta pemain tempatan dan juga pemain luar negara berjaya dilaksanakan dengan baik oleh Khamal dan kita sudah melengkapkan barisan pemain yang yang bakal mengharumkan nama KDAFC serta jenama yang lebih dikenali di seluruh dunia,” kata Mohd Daud.

Khamal Idris Ali

Menurutnya, KDAFC adalah satu-satunya membawa barisan pemainnya berlatih di Eropah iaitu di Turki dan ini telah memberi banyak manfaat kepada kesemua pemain dan juga Ketua Jurulatih Nafuzi Zain bagi dia mengenal kemampuan sebenar barisan pemain yang dimilikinya musim ini.

“Walaupun beraksi dalam keadaan sejuk kesemua pemain telah menampakkan kesungguhan dan berjaya beraksi seperti biasa tetapi fizikal yang lebih besar dan pengalaman lawan kita beraksi di Liga Eropah menjadi faktor utama memberi kelebihan kepada lawan kita.

“Ketika di Turki selama lebih 10 hari, hubungan erat di antara pemain tempatan atau pun dari luar negara sebagai satu keluarga yang besar sangat memuaskan.

“Keputusan perlawanan tidak menjadi keutamaan tetapi apa yang saya harapkan daripada semua yang bersama KDAFC ke Turki berjaya mencapai matlamat utamanya. Yang pasti akan memantapkan lagi ketika mengharungi Liga Malaysia musim ini yang bakal bermula pada 25 Februari ini dengan bertemu Perak di Ipoh,” kata Mohd Daud.

Tambahnya, pada musim ini KDAFC memiliki tujuh pemain import serta seorang pemain naturalisasi iaitu Lee Tuck dan ini memberi peluang kepada kita untuk menamakan enam pemain dari luar negara pada sesuatu masa.

“Kini saya yakin pengalaman yang di raih di Turki mampu meningkatkan lagi kesefahaman dan meningkatkan permainan  mereka dan mereka juga dapat membuka mulut mereka seperti yang dilakukan oleh lawan kita kerana ada masa barisan pemain beraksi dengan begitu senyap dan tidak memberi peluang kepada rakan sepasukan yang bola berada di kakinya bagi dari kehilangan bola dengan mudah.

Nafuzi Zain

“Musim ini saya hanya matlamat meraih tempat empat teratas pada Liga Super dan sekiranya ada rezeki kita mampu menjulang Piala FA ataupun Piala Malaysia musim 2023, barisan pemain juga memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri mereka dengan corak permainan yang dilaksanakan oleh Nafuzi.

“Bagi meraih kejayaan pada Liga Super musim ini kita sudah pasti memiliki kelebihan setelah beraksi empat perlawanan di Eropah dengan bertemu lawan yang kuat dari kita dan saya yakin pemain kini mampu meningkatkan lagi prestasi mereka berbanding semua perlawanan ujian yang dilalui sebelum ini,” tambah Mohd Daud mengakhiri pertemuan.

(Foto: Kedah Darul Aman FC)