KETUA Jurulatih muda kebangsaan, Osmera Omaro memberi gambaran bahawa kontraknya bersama pasukan Bawah 16 Tahun negara sewajarnya disambung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana dia telah berjaya membuktikan bahawa pasukan muda kebangsaan kini berada pada tahap terbaik.

“Pertama sekali, lantikan saya perlu disambung oleh FAM. Jika saya dilantik, kita akan buat yang terbaik kerana 16 pasukan (Piala Asia) terbaik itu bukanlah lawan yang mudah.

“Ia memerlukan persiapan yang lebih rapi dan jauh lebih banyak kerja, bukannya terlalu panjang,” ujarnya ketika ditemui media semasa ketibaan pasukan muda negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Osmera dan barisan kejurulatihan berjaya membawa skuad negara ke pentas Piala Asia B-17 2023 selepas bergelar juara Kumpulan B pada aksi Kelayakan Piala AFC B-17 yang berlangsung di Bogor, Indonesia.

Dalam pada itu, Osmera tidak lupa berterima kasih kepada Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin kerana kehadirannya telah memberi semangat luar biasa kepada barisan pemain dan kejurulatihan.

“Datuk Hamidin tentu apabila beliau sampai membuat jurulatih dan pemain teruja. Beliau sangat yakin kepada pasukan ini dan memberitahu kepada pemain, jangan risau dan hanya beri yang terbaik.

“Saya rasa apa yang disampaikan Datuk Hamidin membakar semangat pemain. Memang kita boleh katakan kita agak cemerlang dengan kelab-kelab besar dan liga kita pun berjaya di pentas Asia. Pasukan B-17 ini pun nampak ada sesuatu menarik yang akan berlaku. Kita harap trend ini akan berterusan.

“Datuk mengingatkan pemain muda ini perlu diasah dengan betul. Laluan karier mereka tentu jauh. Kadang-kadang mereka boleh tersasar. Jika kita sebagai satu ekosistem bola sepak, termasuk ibu bapa dan sekolah, semua pihak harus selari,” tambahnya.