BEKAS bintang Liverpool, Michael Owen menyifatkan Mo Salah mempunyai perjanjian peribadi dengan Jurgen Klopp untuk bermain setiap perlawanan Liverpool.

Penyerang Mesir itu telah menyinari pasukan di bawah kendalian Klopp musim ini, sama ada dalam aksi domestik mahupun di pentas Eropah.

Walau bagaimanapun, ia merupakan satu kejutan untuk melihatnya menyertai pertembungan Liga Europa pada Khamis dengan LASK di Anfield, terutamanya dengan Reds di ambang menempah tempat mereka ke pusingan seterusnya.

Hal ini membuatkan Owen percaya bahawa Salah menuntut untuk bermain dalam setiap perlawanan yang mungkin untuk Liverpool.

Dalam temubual bersama TNT Sports menjelang pertarungan Reds dengan LASK, bekas penyerang Reds itu berkata: “Dia pasti memberitahu Jurgen Klopp, ‘Saya mahu bermain dalam perlawanan ini’. Dia beraksi dalam setiap perlawanan, bukan? Dia luar biasa. Sebuah mesin.”

Ia merupakan teori yang juga dipersetujui oleh bekas bekas bintang Liverpool, Joe Cole. Dia menambah: “Salah pasti mempunyai sesuatu perjanjian dengan pengurus di mana dia mahu bermain di setiap perlawanan”, dan Owen membalas: “Anda sentiasa mahu bermain, ada sesuatu yang tidak kena dengan anda jika anda tidak mahu berbuat demikian, terutamanya dalam permainan di Anfield.”

Teori mereka mungkin ada benarnya berdasarkan jumlah permainan yang telah dimainkan Salah sejak ketibaannya dari Roma. Pemain berusia 31 tahun itu telah membuat sebanyak 324 penampilan untuk Liverpool dan menjaringkan 198 gol.

Salah hanya terlepas satu perlawanan musim ini, kemenangan 3-1 menentang Leicester dalam Piala Carabao.

Dalam 18 penampilan sebelum perlawanan menentang LASK, Salah telah menjaringkan 12 gol dalam 18 perlawanan dalam semua pertandingan.

Beberapa musim lalu, Salah menegaskan keinginannya untuk bermain sebanyak yang mungkin.

“Saya ingin bermain setiap minit dan setiap perlawanan. Saya ingin bermain selama 95 minit, bukan hanya 90! Tetapi saya menghormati keputusan pengurus,” katanya kepada beIN Sports.

Walaupun ramai yang menjangkakan dia akan membuka jaringan gol pertama menentang LASK, jaringan itu berjaya dihasilkan oleh salah seorang rakan sepasukannya, Luis Diaz dengan sepakan tandukan mengagumkan untuk gol pertama Anfield sejak Ogos.

Salah memainkan peranan dalam gol kedua Reds walaupun hantaran lintang rendahnya disambar oleh Cody Gakpo.

Selepas pertembungan dengan LASK, Salah berharap untuk beraksi sekali lagi pada hujung minggu ini. Liverpool akan menjadi tuan rumah di Anfield untuk perlawanan Liga Perdana dengan Fulham.