ANGGOTA terbaharu program Road to Gold (RTG), Mohamad Aniq Kasdan diletakkan sasaran untuk mencapai angkatan keseluruhan 300 kilogram (kg) pada Kejohanan Grand Prix IWF 2 di Qatar, bulan depan.

Keyakinan itu dinyatakan Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ayub Rahmat bukan hanya kepada Aniq malah seorang lagi badang negara, Muhamad Aznil Bidin menjelang kejohanan yang menjadi pentas memburu mata kelayakan bagi Olimpik Paris 2024.

“PABM sasarkan atlet berupaya untuk mengangkat bebanan 300kg keseluruhan dalam disiplin snatch dan clean&jerk di Grand Prix IWF 2, Qatar. Di samping itu, seorang lagi atlet negara, Muhamad Aznil Bidin akan terus bersaing untuk mendapatkan kedudukan terbaik dalam kejohanan berkenaan,” kata Ayub dalam satu kenyataan.

Kennyataan dikeluarkan PABM hari ini.

Ayub turut mengucapkan tahniah kepada Aniq selain berterima kasih kepada Jawatankuasa RTG kerana memberi peluang kepada atlet angkat berat negara berada dalam program terbabit.

Pada Selasa, Mesyuarat Jawatankuasa RTG menyenaraikan pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu untuk berada dalam program itu selepas Aniq, 21, menepati kriteria RTG, berada di kedudukan 10 dalam ranking Olimpik.

Mohamad Aniq Kasdan meraikan kemenangan pingat emas Sukan Komanwel Birmingham dalam acara 55kg lelaki. Pix Agency

“Penyertaan atlet ini dalam Program RTG akan memberikan kelebihan kepada beliau untuk sentiasa meningkatkan prestasi semasa supaya layak ke Sukan Olimpik kerana kedudukan ranking dunia angkat berat ini sentiasa berubah serta mendapatkan keperluan sukan bagi membolehkan kedudukan ini dapat ditingkatkan ke kedudukan yang lebih baik,” kata Ayub.

Selain Kejohanan IWF Grandprix 2 di Qatar, ada dua lagi kejohanan menawarkan kelayakan ke Olimpik Paris 2024, iaitu Kejohanan Angkat Berat Asia di Uzbekistan (3-10 Februari 2024) dan Kejohanan Angkat Berat Dunia di Phuket, Thailand (2-12 April 2024).

Datuk Ayub Rahmat tegas dalam isu doping.

Dalam perkembangan lain, Ayub memaklumkan Mesyuarat Exco PABM semalam, menerima rayuan secara bersyarat terhadap dua negeri yang digantung disebabkan isu doping sebelum ini.

“Mesyuarat mengambil keputusan menerima rayuan secara bersyarat terhadap dua negeri yang digantung disebabkan isu doping dan dibenarkan menyertai Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024.

“Penggantungan atlet angkat berat Perlis dikekalkan iaitu sehingga 31 Mei 2024 manakala penggantungan atlet Terengganu adalah sehingga 30 Jun 2024. PABM akan mengenakan tindakan tegas sekiranya berlakunya kes berulang sebelum/semasa atau selepas Sukan Malaysia XXI, 2024, Sarawak.

“Kedua-dua negeri berada dalam pemantauan doping oleh Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS),” kata Ayub.

Adamas sentiasa memantau perkembangan atlet terlibat salah laku doping.

Dalam pada itu, Aniq gembira disenaraikan dalam program tersebut dan bertekad untuk memberikan yang terbaik dalam setiap kejohanan yang disertai.

“Peluang ini bagus untuk saya tingkatkan lagi angkatan dalam setiap kejohanan. Dapat masuk program ini saya akan dapat fast lane untuk recovery.

“Insya-ALLAH saya akan cuba buat lebih baik daripada sebelum ini. Saya akan perbaiki kekurangan dan cuba kekalkan prestasi,” katanya.