BEKAS penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Diogo Luis Santo tampil membuat perbandingan antara Liga Thai dan Liga Super Malaysia.

Tanpa segan silu, dia memuji Liga Thai lebih padu dari segi kualiti, terutamanya mengenai padang.

Diogo bermain di Thailand selama lima tahun bersama dua kelab iaitu Buriram United dan BG Pathum United, serta beraksi di Malaysia bersama JDT sebanyak dua kali pada 2019-2020 dan 2023 sebelum bersara pada usia 36 tahun, Disember 2023.

“Saya rasa Liga Thai lebih kuat daripada Liga Super Malaysia kerana Liga Malaysia mungkin ada dua, tiga pasukan yang bagus tetapi pasukan ini tidak seperti Johor, ini satu perbezaan yang besar,” kata Diogo dipetik Think Curve.

“Selain itu, mereka mempunyai padang (Johor mempunyai stadium yang menakjubkan), tetapi mungkin bermain di luar (perlawanan di tempat lawan), kadang-kadang juga tidak boleh bermain bola sepak di Malaysia kerana keadaan padang.

“Apabila saya bermain dengan JDT, saya juga bercakap dengan bos (Tunku Mahkota Johor), bos juga bercakap tentang perkara ini.”

“Dan kini hanya ada JDT, dan Terengganu mempunyai keadaan padang yang baik…. ini adalah kelemahan Liga Malaysia.

“Jika katakan tentang Thailand, mereka mempunyai dua, tiga alasan tidak begitu bagus tetapi anda boleh bermain, tetapi di Malaysia ia adalah mustahil untuk bermain,” katanya.

Pada 3 Januari 2019, Harimau Selatan mengumumkan menandatangani Diogo dengan bayaran anggaran €1.5 juta, yang tertinggi pernah dibayar oleh kelab Malaysia.

Selepas memenangi beberapa anugerah termasuk tiga Liga Super – dia pulang semula ke Thailand untuk mewakili BG Pathum United sebelum kembali ke Stadium Sultan Ibrahim pada 2023.