KETUA Jurulatih Selangor FC, Tan Cheng Hoe mengakui punca Selangor FC hanya seri adalah sedikit sebanyak disebabkan keadaan padang yang kurang memuaskan akibat hujan.
Kegagalan mereka menyesuaikan diri dengan corak permainan ketika bermain dalam hujan lebat menyebabkan Sri Pahang FC berjaya memperoleh gol pendahuluan mereka.
“Memang kalau kita lihat kita pun tidak mahu beri alasan. Tetapi pada hujung 15 minit, hujan lebat dengan keadaan padang kita tidak boleh bermain dengan normal.
“Kita juga konsisten dengan set pieces kita untuk menjaringkan gol. Itulah salah satu kekuatan pasukan Selangor FC. Kita kena teruskan kalau situasi tidak mengizinkan kita bermain bola. Kita kena tukar corak permainan kita,” jelasnya ketika sidang media selepas perlawanan Selangor FC berdepan Sri Pahang FC.
Dalam pada itu, Cheng Hoe tetap memuji semangat juang pemainnya yang pada satu ketika hampir tewas namun berjaya bangkit dengan keputusan seri meskipun beraksi dalam keadaan padang yang lecak dan situasi hujan lebat.
“Semangat berlawan sangat baik. Walaupun dalam minit terakhir, kita tetap melawan,kita terus mencipta peluang walaupun dalam keadaan padang yang tidak mengizinkan.
“Secara keseluruhan kita tahu Sri Pahang datang dengan pertahanan kental dan serangan balas. Setiap pemain perlu belajar dalam situasi tersebut,” ujarnya.
Sementara itu, Jurulatih Sri Pahang FC, Fandi Ahmad menjelaskan dia terpaksa menukar corak permainan dengan menutup ruang di bahagian sayap dan menunggu peluang untuk melancarkan serangan balas.
Taktikal tersebut nyata berkesan bagi Sri Pahang FC apabila mereka berjaya menjaringkan satu gol menerusi Stefano Brundo menerusi sepakan penalti.
“Cara kita bermain kita tukar corak permainan kita kali ini. Kita selalu main 3-5-2, 5-3-2 atau 4-3-3 tetapi kerana kekuatan mereka di bahagian tengah, kita cuba tutup ruang di bahagian sayap dan kita main serang balas. Ia berhasil bagi kita cuma kadang-kadang untuk serangan agak lambat bagi kita,” katanya.
Keputusan seri 1-1 nyata melegakan Fandi Ahmad kerana tujuan mereka pada perlawanan ini adalah untuk merantai pemain import Myanmar, Hein Htet Aung dan penyerang lincah Faisal Halim dan ia berjaya dilaksanakan.
Dalam tempoh sepuluh minit yang terakhir, Fandi mengakui mereka terpaksa bermain dengan membuat clearance dan mengharapkan serangan balas kerana jentera Gergasi Merah telah bergerak secepat mungkin dengan taktikal menyerang.
“Kita harus matikan sayap-sayap mereka. Hein Htet Aung dengan Faisal Halim, kita berjaya menjaga mereka dari tepi. Kita memang hendak menang kalau tidak pun dapat satu mata.
“Untuk kita, mungkin 10 minit terakhir itu, kita tidak boleh keluar. Sebab Selangor FC sudah tolak semua pemain ke atas untuk menyerang kita. Kita cuma berjaya keluarkan bola dan mengharapkan serangan balas,” tegasnya.