STADIUM Nasional Bukit Jalil akan mendapat sumbangan padang baharu jenis hibrid selepas kaji selidik mendapati rumput itu lebih sesuai untuk digunakan di stadium pelbagai fungsi berbanding rumput Zeon Zoysia.

Perkara ini didedahkan oleh Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail selepas pertemuan dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Windsor John.

Menerusi hantaran di laman sosial rasmi kelab Johor Darul Ta’zim, Tunku Ismail menyatakan rumput jenis hibrid itu sedang ditanam di Stadium Larkin dan akan didermakan ke Stadium Nasional Bukit Jalil manakala rumput Zeon Zoysia sedia ada akan dipindahkan ke padang Majlis Sukan Negara.

“Hasil kaji selidik yang dijalankan di padang Stadium Nasional Bukit Jalil telah menunjukkan bahawa rumput hibrid lebih memenuhi keperluan stadium pelbagai guna kerana ketahanan dan fleksibilitinya sesuai untuk acara sukan serta bukan sukan.

“Berdasarkan hasil kaji selidik tersebut dan kejayaan penyelidikan yang dijalankan oleh Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim di Larkin, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor akan mendermakan rumput jenis hibrid yang sedang ditanam di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos kepada Stadium Nasional.

“Inisiatif itu dititahkan oleh Baginda selepas mengadakan pertemuan bersama YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan serta YBhg Datuk Seri Windsor John, Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini, 16 April 2024.

Hannah Yeoh memeriksa keadaan rumput hibrid yang ditanam di Stadium Larkin

“Rumput Zeon Zoysia yang didermakan oleh Baginda kepada Stadium Nasional sebelum ini akan dibuka dan dipasang di padang Majlis Sukan Negara, KL Sports City. Padang tersebut sering digunakan oleh Sekolah Sukan Bukit Jalil dan pasukan-pasukan bola sepak negara,” tulis kenyataan itu.

Rumput hibrid adalah gabungan rumput tiruan dan rumput sebenar yang lebih kuat di bahagian akarnya dan ianya lebih sesuai untuk stadium pelbagai guna yang sering menganjurkan konsert selain perlawanan bola sepak.

Diharap masalah rumput yang sering melanda Stadium Nasional Bukit Jalil hingga mencemar maruah negara dapat diatasi sepenuhnya dengan pemasangan rumput hibrid ini.