ISU padang Stadium Nasional Bukit Jalil terus menjadi perbualan selepas Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi gambar keadaan rumput terkini di platform X pada Jumaat.
Walau bagaimanapun, hantaran pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) itu tidak mengandungi sebarang ulasan atau kapsyen.
Difahamkan, TMJ seolah-olah tidak puas hati terhadap kualitinya selepas Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur di Stadium Nasional Bukit Jalil yang dihadiri lebih 75,000 penonton malam Rabu lalu.
Menerusi perkongsian foto tersebut, kelihatan beberapa bahagian rumput di padang SNBJ rosak dan berwarna kuning dipercayai kurang mendapat pencahayaan akibat penganjuran konsert Coldplay.
— HRH Crown Prince of Johor (@HRHJohorII) November 24, 2023
Situasi ini menimbulkan persoalan sama ada padang tersebut dapat digunakan bagi penganjuran pertandingan akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung pada 8 Disember ini.
Padang Stadium Nasional sebelum ini pernah dikritik hebat selepas ia yang baru dinaik taraf rosak teruk ketika digunakan pada Pestabola Merdeka 2023, bulan lalu.
Terdahulu, pada Mac lepas, TMJ telah mengurniakan tajaan rumput Zeon Zoysia kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bernilai RM1 juta bagi memastikan kualiti padang di stadium terbesar negara itu berada pada tahap yang terbaik.
Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dan PSM sebelum ini telah mengambil keputusan untuk menggantikan rumput sedia ada kepada jenis Zeon Zoysia dan yakin penggunaan rumput ini mampu menyelesaikan isu kualiti padang di stadium itu.
SNBJ sebelum ini pernah menggunakan rumput jenis Bermuda Greenless Park bermula 1998-2005, Marimo Seashore Paspalum bersama Zoysia Material (2005-2013) dan Bermuda Mountain Green bersama Princess (2013-2015).