PERAK FC melakukan penambahbaikan di dalam kawasan stadium dengan memasang pagar pemisah di kawasan penyokong lawan di Stadium Perak.

Ia dibuat selepas pasukan Seladang terkesan dengan kekacauan penyokong yang melibatkan pihak casual Perak dengan penyokong lawan ketika aksi di Ipoh musim lepas.

Perlawanan antara pasukan tuan rumah dengan Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim FC dalam saingan Liga Malaysia musim lepas antara contoh yang menyaksikan perlawanan berakhir dengan kekecohan.

Pagar keselamatan yang dipasang bagi memisahkan kedua-dua belah penyokong. (Sumber Gambar: Perak FC)

Dalam hantaran di laman media sosial kelab, pagar keselamatan sudah dipasang untuk memisahkan penyokong kedua-dua pasukan ketika perlawanan berlangsung.

“Selaras dengan saranan daripada pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkaitan tahap kawalan keselamatan penonton di stadium dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M), Perak FC dan MBI telah bersama-sama menjayakan usaha ke arah meningkatkan aspek keselamatan di Stadium Perak, Ipoh.

“Dengan pemasangan pagar pemisah antara penyokong pasukan tuan rumah dan pelawat di Stadium Perak sempena musim Liga-M 2024/25 oleh pihak MBI diharap dapat mengelakkan insiden-insiden yang tidak diingini daripada berlaku sebelum, semasa dan selepas perlawanan.

Inisiatif pemasangan pagar pemisah dilakukan bagi mengelakkan kekocohan penyokong ketika perlawanan. (Sumber Gambar: FB Perak FC)

“Perak FC mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) atas inisiatif segera pemasangan pagar pemisah serta mempertimbang dan meluluskan permohonan kami sebelum ini,” kata pengurusan kelab dalam hantaran itu.

Diharapkan dengan pemasangan pagar ini, keselamatan penyokong lawan dapat dijamin ketika mereka berkunjung ke Ipoh untuk menyokong pasukan kesayangan mereka tanpa ada rasa ragu.