INSIDEN buruk membabitkan penyokong Liga Malaysia berlaku lagi apabila sekumpulan penyokong bertindak ganas merosakkan pintu masuk Stadium MBPJ.

Kejadian itu berlaku selepas tamat perlawanan diantara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC pada 26 Mei lalu.

Melalui video yang tular di media sosial, penyokong Jang marah kerana dihalang keluar daripada stadium selepas tamat perlawanan.

Keadaan pagar pintu masuk ‘away’ stadium yang dirosakkan oleh beberapa individu. (Sumber Gambar: IPD Petaling Jaya)

Ini telah menyebabkan sekumpulan penyokong bertindak ganas dengan merosakkan pintu masuk ‘away’ stadium berkenaan untuk keluar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superitendan M. Hussin Sollehuddin Zolkifly memberitahu bahawa polis telah mengesan dua video tular mengenai kes itu.

“Semakan mendapati, kejadian terbabit berlaku selepas selesai perlawanan liga tempatan pada 26 Mei sekitar 11 malam.

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh Polis daerah Petaling Jaya.

“Akibat kekecohan itu telah menyebabkan pintu pagar masuk tempat duduk penyokong dirosakkan.

“Pihak polis masih mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian tersebut. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media.

Pada perlawanan minggu yang sama, terdapat satu lagi insiden buruk membabitkan penyokong KL City FC dan JDT apabila sekumpulan individu yang tidak diketahui membaling batu, suar dan mercun di perkarangan luar Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 25 Mei lalu.