PASUKAN Pahang Rangers FC membawa bekalan selesa untuk melangkah ke separuh akhir Liga Premier Futsal Malaysia 2023 selepas membelasah Shah Alam City 6-1 pada saingan suku akhir pertama di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan pada Sabtu.

Dominasi Pahang Rangers cukup terserlah sepanjang perlawanan dengan melakukan serangan bertubi-tubi ke gawang pelawat yang dikawal Aizat Borhanudin.

Aksi perlawanan Pahang Rangers vs Shah Alam City

Lebih menarik, awang import dari Iran, Amin Nasrollah Zadeh Hosseinali kerap mengucar-ngacirkan kubu lawan dan hasilnya menyumbat kedua-dua gol terutamanya di babak pertama.

Sorakan penyokong tuan rumah yang disuntik Ultras Pahang atau lebih dikenali Elephant Army terus menghangatkan lagi suasana stadium yang boleh memuatkan 2,400 kapasiti penonton.

Ultras Elephant Army menggegarkan stadium dengan laungan sokongan

Anak buah Gerard Casas bagaikan naik minyak di babak kedua apabila sentuhan jaringan menerusi Akmarullah Idris dan Sergio Jamur De Souza 28′ dan Farhan Khairul Anuar 30′, 37′ menghadiahkan kemenangan bergaya Pahang Rangers malam ini.

Amin Nasrullah menyumbang dua gol untuk Pahang Rangers

Shaha Alam City memperoleh gol saguhati melalui Zainal Abidin Hamzah 32′.

Kedua-dua pasukan akan berentap lagi pada perlawanan suku akhir kedua yang dijadualkan berlangsung di Stadium Panasonic Shah Alam pada 15 Julai ini.