SKUAD futsal Pahang Rangers akan menjadi tuan rumah kepada Pahang Rangers Invitational Tournament 2024 – kejohanan futsal antarabangsa empat penjuru dengan fokus utama untuk kembali mendapatkan rentak selepas liga bercuti panjang dan memperbaiki beberapa kelemahan yang sudah dikenalpasti.

Aksi futsal bertaraf antarabangsa itu menampilkan dua jaguh futsal Asia Tenggara, Bintang Timur Surabaya dari Indonesia dan Thai Son Bac dari Vietnam serta pasukan Sabah akan berlangsung dari 2 hingga 5 Mei 2024 di Stadium Sukpa, Kuantan.

Bintang Timur Surabaya adalah juara Piala Futsal AFF 2022 dan juga juara Indonesia Pro Futsal League tiga tahun berturut-turut dari 2021, 2022 dan 2023 manakala Thai Son Bac pula muncul tempat ketiga Vietnam Futsal League 2023.

Pengendali Pahang Rangers, Gerard Casas menjelaskan dia mahu melihat pasukan memantapkan keserasian dan membina semula momentum sebelum liga bersambung kembali pada 18 Mei.

“Ini umpama pramusim kedua bagi kami dengan liga telah berehat panjang hampir dua bulan maka banyak yang perlu ‘restart‘ semula. Selepas game terakhir menentang Gombak TOT kita telah sambung berlatih secara santai hampir tiga minggu di bulan Ramadan kemudian bercuti dua minggu dan kembali semula ke latihan.

“Saya akui jumlah bolos dalam empat perlawanan terdahulu amat menggerunkan dan sudah tentu itu fokus utama untuk kita perbaiki. Tetapi jangan juga lupa empat pasukan yang kita lawan itu adalah pasukan yang kuat dan boleh mencabar kejuaraan. Dengan usia skuad ini, saya boleh kata para pemain melalui proses pembelajaran yang baik dan semakin matang.

Gerard mahu pasukannya kembali kepada momentum asal selepas liga berehat panjang

“Banyak benda saya mahu lihat dalam persahabatan antarabangsa ini nanti iaitu memantapkan keserasian, persefahaman, komunikasi antara pemain serta membina momentum yang baik apabila kembali beraksi dalam liga. Kita akan lawan KL City sebelum aksi sukar di tempat lawan menentang JDT, jadi aksi persahabatan ini platform terbaik untuk memperbetul setiap kepincangan,” katanya.

Pahang Rangers akan memulakan cabaran menentang Thai Son Bac pada 2 Mei sebelum bertemu Bintang Timur Surabaya pada 4 Mei dan melengkapkan aksi round-robin dengan Sabah pada 5 Mei dan pasukan dengan mata tertinggi akan dinobatkan sebagai juara.