PAHANG Rangers FC mencuri tumpuan peminat futsal tanah air apabila hanya tinggal selangkah kaki lagi untuk ke peringkat separuh akhir kejohanan MPFL 2023.

Kejayaan menang besar menundukkan Shah Alam City 6-1 di Stadium Tertutup SUKPA, Kuantan pada Sabtu menjadi azimat terbaik Pahang Rangers untuk terus menyajikan persembahan berkualiti dalam aksi akan datang.

Penolong kapten pasukan Saiful Nizam Mohd Ali berkongsi rasa syukurnya berikutan kemenangan yang disasarkan oleh pihak pengurusan telah tercapai.

Saiful Nizam dalam aksi menentang Shah Alam City pada Sabtu. 

“Alhamdulillah, apa yang kami sasarkan telah tercapai kerana semua pihak memberikan kesungguhan yang bagus pada malam ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong-penyokong yang hadir. Kehadiran penyokong sungguh luar biasa pada malam itu,” kata Nizam kepada FLASH SUKAN selepas perlawanan.

Berikutan kemenangan besar yang berjaya diraih, Saiful juga mengharapkan pasukannya akan meneruskan momentum permainan yang baik selain kekal fokus menjelang perlawanan suku akhir kedua di tempat lawan nanti.

Pasukan Pahang Rangers FC

Dalam masa yang sama, anak jati Johor yang bermain untuk Pahang Rangers itu menekankan kepada skuad kendalian Gerrad Casas untuk mengurangkan kesilapan ketika permainan dalam memastikan misi seterusnya untuk ke peringkat akhir dapat dilunaskan.

“Terima kasih, rodong!” tambah Nizam. 

ARTIKEL BERKAITAN : Pahang Rangers bawa bekalan selesa ke separuh akhir

Pahang Rangers FC memberi tanda hormat kepada penyokong yang hadir. 

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang pada Sabtu menyaksikan kehadiran lebih daripada 1,000 orang penyokong dari kedua-dua pasukan.

Kedua-dua pasukan akan bertemu semula pada 15 Julai ini bagi suku akhir kedua di Stadium Panasonic, Shah Alam.