KETUA Jurulatih Skuad Futsal Pahang Rangers, Gerard Casas gembira dengan apa yang dilakukan oleh para pemainnya ketika menewaskan ATM minggu lalu dan mahu meletakkan fokus sepenuhnya kepada perlawanan Derbi Pantai Timur menentang Terengganu pada Sabtu.

Dia juga menjangkakan aksi yang sukar bakal ditempuh kerana selepas empat perlawanan, perlawanan ini boleh dikatakan sebagai ujian sebenar buat gergasi futsal tanah air itu.

Selain itu, Casas juga mengharapkan sokongan padu daripada para penyokong untuk memenuhkan Stadium Tertutup Sukpa kerana dia percaya sokongan penyokong mampu memberikan nilai tambahan buat pemainnya untuk beraksi dengan lebih baik.

“Tahniah kepada para pemain atas kemenangan keempat ini kerana mereka lakukan tugas yang baik meskipun bermain pada sebelah pagi dan ditempat lawan. Ada sedikit kekurangan pada separuh masa pertama tetapi semuanya baik pada babak kedua dan kami masih perlu bekerja keras untuk perlawanan seterusnya.

“Perlawanan derbi Pantai Timur menentang Terengganu adalah perlawanan yang besar. Mereka adalah pasukan yang kuat dan kami perlu bersedia serta berlatih dengan baik sebagai persediaan mental dan fizikal untuk perlawanan pada Sabtu.

“Saya juga berharap para penyokong memenuhi Stadium Tertutup Sukpa kerana ianya akan berikan semangat dan kekuatan tambahan yang sangat diperlukan oleh para pemain kami,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Gerard Casas

Selepas mengharungi empat perlawanan dalam Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL), Pahang Rangers mengungguli Kumpulan A dengan 12 mata maksimum dan berjaya menjaringkan 30 gol dengan bolos hanya lima kali.