SKUAD Futsal Pahang Rangers teruja apabila sekali lagi terpilih untuk mewakili Malaysia ke Piala Futsal AFF 2023 yang bakal berlangsung di Nakhon Ratchasima, Thailand pada 1 hingga 7 Mei 2023.

Ia merupakan kali kedua Pahang Rangers menyertai kejohanan jemputan ini selepas 2021 yang menyaksikan enam kelab futsal handalan Asean bakal merebut kejuaraan dan dinobatkan sebagai kelab futsal terbaik Asia Tenggara.

Skuad kendalian Gerrard Cassas ini telah diundi dalam Kumpulan A bersama-sama kelab tuan rumah yang juga naib juara edisi 2022, Hongyen Thakam dan wakil Myamnar, Victoria University College (VUC) FC.

 

Sementara itu tiga lagi kelab, Black Steel FC Papua dari Indonesia, Thai Son Nam FC yang mewakili Vietnam dan kelab Australia, Football Victoria mengisi Kumpulan B dengan dua tempat pasukan teratas setiap kumpulan layak ke peringkat seterusnya.

Cassas yang dihubungi FLASH SUKAN teruja dengan kesempatan ini dan dia menganggap ini adalah medan terbaik buat para pemain mudanya untuk menimba pengalaman beraksi dengan kelab-kelab terbaik Asia Tenggara dan mereka bersedia untuk memberikan aksi yang terbaik.

“Kami akan terbang ke Thailand untuk bermain di kejuaraan kedua AFF kami dalam tempoh satu setengah tahun. Ini adalah peluang keemasan buat pemain muda kami untuk mendapat pendedahan dan pengalaman bermain di pentas antarabangsa.

Gerrard Casas 

“Tahap kejuaraan ini sangat tinggi dan ia pastinya akan memberikan cabaran yang cukup sukar buat kami namun kami sudah sedia untuk berjuang dan akan berikan yang terbaik,” katanya.

Disebabkan Liga Premier Futsal Kebangsaan (MPFL) kini sedang berehat kerana bulan Ramadan, Pahang Rangers mengadakan beberapa perlawanan persahabatan termasuk menentang pendatang baharu, Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk menguji dan mempersiapkan pasukan menjelang aksi di Thailand yang menyaksikan skuad Pantai Timur itu menang 4-1.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada JDT atas jemputan dan saya sangat gembira kerana dapat beraksi dalam satu lagi perlawanan persahabatan menentang skuad futsal terbaik negara ketika ini. Meskipun ia hanya perlawanan persahabatan, saya gembira dengan kemenangan itu.

“Kami perlu menempuh pelbagai kesukaran dan bekerja keras untuk mendapatkan keputusan itu berdasarkan bakat yang ada pada skuad JDT. Ujian ini adalah yang terbaik buat kami untuk kami terus berkembang dan sebagai persiapan untuk menghadapi cabaran yang akan datang selepas ini,” tambahnya.

Untuk rekod, dalam edisi 2021 lalu, Pahang Rangers menamatkan saingan di tangga keempat dari lima pasukan dengan mencatat satu kemenangan dan tiga kekalahan untuk memungut tiga mata dalam kejuaraan yang berlangsung dengan format round robin ketika itu.