JERSI home baharu Sabah FC musim ini berjaya menarik perhatian penyokong dan tidak terkecuali pemain yang memuji selepas mengekalkan tradisi warna merah.
Awang import dari Korea Selatan, Park Tae-su secara peribadi menyifatkan sepanjang empat musim bersama The Rhinos rekaan jersi tahun ini paling cantik.
“Bagi saya dalam lima tahun ini yang paling cantik. Kalau kau (anda) lambat beli saya rasa tiada stok.
“Saya memang suka sebab ia jersi klasik terutamanya bahagian kolar,” katanya memberikan penilaian 10 bintang.
Tae Su bilang “Paling dia suka dalam 5 tahun”….@ALIKHSAN_my @lottosport pic.twitter.com/9W9vJf7kwn
— Sabah FC Official (@SabahFCofficial) February 20, 2023
Terdahulu, kontrak Tae-su atau nama jolokannya ‘Pak Karim’ disambung selama dua tahun lagi sehingga 2024.
Sepanjang aksi Liga Super musim lepas, kelibat Tae-su sentiasa menjadi perhatian terutama kebolehannya menyudahkan hantaran rakan kepada gol melalui tandukan berbisanya.
Tae-su juga dilihat menjadi gandingan yang serasi bersama kapten skuad Sang Badak, Baddrol Bakhtiar berikutan banyak hantaran Baddrol terutama sepakan percuma berjaya disambut dengan baik olehnya untuk diterjemah kepada gol.