JURUTERA kanan pasukan Formula Satu (F1) Ferrari dan pakar aerodinamik David Sanchez meninggalkan pasukan selepas sedekad di Maranello, demikian menurut laporan media Itali pada Khamis.
Ferrari, naib juara di belakang Red Bull pada musim 2022, bagaimanapun enggan mengulas mengenai laporan tersebut.
Gazzetta dello Sport berkata, jurutera berasal dari Perancis itu, yang merupakan Ketua Konsep Kenderaan pasukan, berhenti selepas permulaan musim yang mengecewakan di Bahrain.
Pasukan tertua dan paling berjaya dalam sukan itu berada di bawah pengurusan baharu, bos dari Perancis, Fred Vasseur berikutan pemergian bekas Prinsipal Mattia Binotto pada penghujung musim 2022.
Sanchez menyertai pasukan Itali itu pada 2012 dari McLaren, yang kini mempunyai bekas jurutera Ferrari Andrea Stella sebagai Prinsipal baharu mereka, dan menjadi ketua aerodinamik pada 2016.
Gazzetta berkata Sanchez akan memulakan tempoh cuti garden leave dan dijangka tempatnya akan diganti melalui kenaikan pangkat dalaman pasukan itu. – Reuters