PAKAR dari Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon diserap sebagai staf sokongan Institut Sukan Negara (ISN) di Sukan Olimpik Paris, bagi memantau rapi tahap kesihatan kontinjen terutamanya jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli yang menyatakan pihaknya mengambil inisiatif tambahan dengan membawa pakar jantung dari IJN itu, untuk berada bersama pasukan perubatan ISN.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ISN, Ahmad Faedzal Md Ramli mengesahkan pakar jantung IJN, Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon sebahagian daripada pakar perubatan ISN ke Paris.

Ia bertujuan untuk memastikan tahap keselamatan dan kesihatan Azizulhasni yang sebelum ini mengalami masalah jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal/ganjil (AAORCA), dijaga dan dipantau dengan rapi.

“Antara Inisiatif melalui RTG (Road to Gold), kita sudah membuat saringan jantung kepada semua atlet yang bakal ke Sukan Olimpik. Ia adalah satu langkah yang kami lakukan sejak beberapa bulan lalu bersama IJN.

“Kami juga mengambil langkah tambahan dengan membawa pakar jantung IJN, Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon untuk menyertai kontinjen sebagai sebahagian daripada pasukan perubatan ISN.

Datuk Azizulhasni Awang akan dipantau Datuk Seri Dr Jeffrey Jeswant Dillon yang membedahnya sebelum ini.

“Langkah yang kita lakukan ini amat penting untuk memantau keadaan jantung Azizulhasni sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.

“Ini adalah komitmen kami untuk memastikan Azizulhasni, dan semua atlet, dijaga dengan rapi sepanjang berada di Sukan Olimpik,” kata Ahmad Faedzal, ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tri Tahunan Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Bukit Jalil.

Jawatankuasa SAM bagi penggal 2024/2027.

Ahmad Faedzal turut memaklumkan, Dr Jeffrey akan bersama pasukan berbasikal sebelum pertandingan berbasikal trek membuka tirainya di Velodrome de Saint Quentin en Yvelines pada 27 Julai ini.

Dr Jeffery adalah antara pasukan perubatan bersama-sama dengan pakar perunding bedah kardiotorasik Australia, Dr Aubrey Almeid yang bertanggungjawab memulihkan dan mencari penyelesaian terbaik terhadap masalah jantung dialami atlet berusia 36 tahun itu.

Azizulhasni yang dikenali dengan jolokan ‘The Pocket Rocketman’ menjalani pembedahan pembetulan selama tiga jam pada 21 April 2022 untuk penyakit dialaminya itu.