SKUAD kebangsaan Palestin memohon maaf kepada penyokong mereka kerana gagal mara ke suku akhir Piala Asia selepas tewas 1-2 di tangan tuan rumah, Qatar.

“Saya amat berbangga dengan perjuangan juara kita. Mereka mempunyai cita-cita besar dan mereka bangga mewakili rakyat Palestin.

“Rakyat Palestin sangat bersemangat (tentang bola sepak). Kami mahu menggembirakan mereka tetapi kami kesal kerana tidak dapat melakukannya. Kami berharap kami dapat beraksi lebih baik pada perlawanan seterusnya dan membalas kekalahan ini,” kata jurulatihnya, Makram Daboub seperti dipetik Reuters.

Biarpun kemaraan mereka terhenti pada Pusingan 16, Daboub berkata pemain telah melakukan yang terbaik di atas padang. Qatar yang tiada tandingan dalam fasa kumpulan malah terpaksa bekerja keras sehingga tamat perlawanan oleh Palestin.

“Pemain telah memberikan segala yang mereka ada walaupun dalam situasi sukar yang kami alami ketika ini. Saya tidak boleh meminta mereka melakukan lebih daripada yang mereka tunjukkan,” kata Daboub lagi.

Image

Palestin memberikan tentangan sengit kepada Qatar dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Bayt, pada Isnin. Malah mereka mampu menjaringkan gol terlebih dahulu menerusi rembatan tepat Oday Dabbagh pada minit ke-37.

Bagaimanapun, Qatar menyamakan kedudukan menerusi Hassan Al Haydos pada masa kecederaan separuh masa pertama sebelum Akram Afif memberikan pendahuluan kepada Qatar pada awal babak kedua.