MALAYSIA bakal menjadi tuan rumah bagi perlawanan pusingan ketiga, kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia membabitkan perlawanan antara Palestin menentang Jordan 10 September ini.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan, Malaysia dipilih sebagai venue perlawanan selepas Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) mengadakan perbincangan dengan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, perlawanan Palestin-Jordan itu akan berlangsug di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

“Sebelum ini, PFA mencari venue yang sesuai untuk dijadikan gelanggang neutral atau gelanggang mereka sendiri bagi aksi kedua kumpulan B, pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, susulan konflik peperangan di Gaza sejak Oktober tahun lalu.

“Selepas perbincangan, kata sepakat dicapai antara FAM dan PFA, yang mana Hamidin selaku Ahli Majlis FIFA bersetuju, menawarkan venue neutral di Malaysia dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur dipilih,” kata kenyataan itu.

Palestin cipta sejarah apabila layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia kali pertama dalam sejarah.

Justeru, FAM menyifatkan keputusan PFA memilih Malaysia sebagai satu penghormatan.

FAM juga memberi sokongan dan sedia menghulurkan bantuan sepenuhnya kepada PFA sepanjang pasukan kebangsaan Palestin berada di negara ini.

Palestin menempah slot ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 selepas meraih keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang Lubnan di Doha, Qatar, 7 Jun lalu.

Stadium Bolasepak Kuala Lumpur bakal menjadi venue aksi bertaraf dunia.

Palestin diundi berada dalam kumpulan B bersama gergasi Asia, Korea Selatan, Iraq, Oman, Kuwait dan Jordan.

Untuk rekod, Malaysia pernah menjadi gelanggang neutral aksi pertama playoff kelayakan Piala Dunia 2018 antara Syria menentang Australia di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 5 Oktober 2017.