PALESTIN berjaya melayakkan diri ke Pusingan 16 Piala Asia dan mereka akan berusaha bersungguh-sungguh meneruskan kemaraan ke pusingan seterusnya walaupun terpaksa berdepan tuan rumah Qatar.

Palestin berjaya melakar sejarah layak buat kali pertama dalam fasa kalah mati Piala Asia selepas sebelum ini mereka kerap berhenti dalam fasa kumpulan. Berada di pusingan 16, Palestin mahu meneruskan kemajuan mereka.

“Terdapat tiket ke suku akhir untuk direbut. Kami menghormati Qatar sebagai juara bertahan dan tuan rumah, tetapi itu tidak bermakna kami akan berada di sini sahaja.

“Kami mahu menang dan apa sahaja boleh dilakukan. Kami mahu berjuang untuk memaksimumkan peluang ini dan saya harap kami boleh menang,” kata jurulatih Palestin, Makram Daboub seperti dipetik di laman web AFC.

Daboub percaya bahawa Qatar akan mempunyai beban yang lebih berat daripada Palestin dalam perlawanan ini. Status tuan rumah, juara bertahan, serta pasukan yang lebih digemari di atas kertas bakal dibawa Qatar dalam pertarungan menentang Palestin.

“Mereka adalah pasukan tuan rumah dan akan mempunyai ramai peminat di stadium, jadi beban akan lebih di sisi mereka. Kami telah mencapai matlamat utama kami dalam kejohanan ini jadi kami akan bermain sambil lewa.”

“Kami akan melakukan yang terbaik dan bermain dengan cara yang sama seperti perlawanan sebelumnya. Dalam 90 minit dalam bola sepak, apa sahaja boleh berlaku,” kata Daboub.

Palestin layak ke pusingan 16 menerusi ranking tempat ketiga terbaik. Palestin mencatat empat mata hasil daripada satu kemenangan, satu seri dan satu kekalahan.

Sementara itu, Qatar layak ke pusingan 16 dengan skor sempurna. Qatar tiada tandingan dalam kumpulan A dan mara dengan kutipan sembilan mata.