KAMI sentiasa anggap Malaysia sebagai gelanggang utama Palestin dan tidak rasa ianya seperti rumah kedua, kami melihatnya sebagai rumah pertama.”

Itulah bait-bait ayat yang dituturkan tonggak Palestin, Mohammed Bassim Ahmed Rashid yang sudah menganggap Malaysia umpama rumah pertama buat mereka selepas melihat sendiri solidariti yang ditunjukkan negara ini kepada Palestin sejak dahulu lagi.

Skuad kebangsaan Palestin kini berada di Malaysia dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai kem latihan pusat menjelang dua aksi pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026 dan Bassim turut mengakui gembira dengan hospitaliti yang ditunjukkan oleh Malaysia menerusi kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Mohammed Bassim anggap Malaysia sebagai rumah pertama skuad bola sepak Palestin

Dia yang beraksi dengan kelab Indonesia, Persebaya Surabaya mengakui sering melihat sokongan dan solidariti yang ditunjukkan kelab-kelab bola sepak di Malaysia terhadap Palestin dan ini memberikan mereka semangat untuk beraksi di sini.

“Sejujurnya saya telah melihat solidariti buat Palestin dalam saingan Liga Super Malaysia. Saya lihat Selangor dan Terengganu sebelum ini dan juga lihat pasukan lain turut memberikan sokongan kepada Palestin.

“Ketika ini, sukar untuk pasukan beraksi di Palestin dengan situasi semasa. Berada di sini sangat memberi manfaat buat kami dan harapnya penyokong terus memberikan sokongan kepada kami seperti sejak sekian lama dahulu,” katanya ketika ditemui di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Sesi latihan skuad Palestin di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras

Bassim juga berbangga dengan pasukannya yang layak ke pusingan ketiga buat pertama kali meskipun serba kekurangan dan dia percaya mereka mampu melakar kejutan kerana dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku.

Sementara itu pengendali Palestin, Makram Daboub menjelaskan mereka hanya mempunyai 15 pemain sahaja ketika ini dengan dua pemain Kelantan Darul Naim FC serta seorang yang berpangkalan di Eropah akan menyertai kem latihan pada Rabu untuk menjadikan jumlah 18 pemain.

Dia turut menyuarakan rasa syukur dengan layanan yang diterima di Malaysia dan berharap para pemain cepat menyesuaikan diri dan dapat melakukan persiapan rapi menjelang dua perlawanan awal ini.

Palestin akan terbang ke Seoul untuk bertemu Republik Korea pada 5 September sebelum kembali ke Kuala Lumpur untuk bertemu Jordan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September.