BEKAS pemain tengah Manchester City, Cole Jermaine Palmer yang membuat keputusan untuk berpindah ke kelab Chelsea adalah untuk meningkatkan reputasi kariernya sekaligus mencari peluang bermain lebih banyak.

Palmer yang berusia 21 tahun menjadikan perpindahannya itu sebagai topik perbualan hangat sejurus mencuri perhatian ramai peminat bola sepak dunia.

Ketika bersama pasukan Bawah 21 Tahun England, Palmer dilihat menonjol dengan aksi permainan yang cukup mantap dan meraih kemenangan di Luxembourg manakala sebanyak 41 penampilan bersama Manchester City dan tiga daripadanya merupakan permulaan dalam Liga Premier.

Bagaimanapun, Palmer berkongsi detik keinginannya untuk ke Chelsea itu apabila  merasakan bahawa peluang untuk mengembangkan kariernya sangat tipis jika tetap berada di bawah kendalian Pep Guardiola.

Keputusan untuk meninggalkan kelab yang telah menjadi ‘rumahnya’ selama 15 tahun merupakan satu keputusan besar buat Palmer apatah lagi dia tidak pernah berpindah kelab atau dipinjamkan sebelum ini.

Impian untuk bersama Chelsea telah disokong oleh beberapa rakan sejawat seperti Raheem Sterling, Levi Colwill dan Noni Madueke yang sering memujuknya untuk menyertai Chelsea serta kelab itu sendiri berminat untuk melamar Palmer dengan nilai 42.5 juta US Dollar.

Palmer akhirnya menampilkan aksi sulungnya untuk Chelsea pada minggu lalu sekaligus menjadikan ia sebagai satu permulaan yang positif bersama kelab baru.

Harapannya di Chelsea ini adalah supaya jurulatih melihat kebolehannya serta memberi peluang untuknya bermain dalam bahagian tengah dengan lebih kerap.