SEMUA orang mahukan yang terbaik buat dirinya, begitu juga dengan pemain badminton negara, Nur Izzuddin Rumsani yang bersedia dengan segala kemungkinan sama ada terus bergandingan bersama Goh Sze Fei atau mendapat gandingan baharu.

Isu itu timbul sejak tahun lalu lagi, namun apabila gandingan beregu lelaki negara yang kini terkeluar dari Top 10 ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan prestasi hambar di Terbuka Malaysia serta Terbuka India tahun ini, kemungkinan gandingan itu dipisahkan, kembali dicanang.

“Dari segi ranking sekarang, memang saya nak fight ke Olimpik, tapi kita lihat nanti apabila saya dan Fei (Sze Fei) berbincang semula dengan jurulatih, mana yang lebih baik tapi yang penting saya siapkan diri,” kata Izzuddin, apabila ditanya mengenai masa depannya bersama Sze Fei.

Sememangnya tidak dinafikan, mereka yang kini di ranking ke-11 dunia berpeluang cerah merebut slot melayakkan diri ke Olimpik Paris selain juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik (nombor 2) dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (nombor 9).

Selepas tersingkir di pusingan pertama Terbuka Malaysia, diikuti Terbuka India, barisan kejurulatihan membuat keputusan menarik penyertaan gandingan ini di Indonesia Masters yang sedang berlangsung, keputusan sama dibuat Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky tahun lalu.

Nur Izzuddin Rumsani bergandingan dengan Muhammad Haikal Nazri di Cabaran Antarabangsa Malaysia Disember tahun lalu, muncul juara menewaskan Goh Sze Fei-Goh Boon Zhe.

Pada tahun lalu, penyertaan Izzuddin-Sze Fei di Terbuka Hylo, Jerman ditarik balik selepas tersingkir di pusingan pertama Terbuka Denmark dan pusingan kedua Terbuka Perancis, satu keputusan yang dianggap Rexy sebagai denda kerana kegagalan gandingan itu menyempurnakan misi melayakkan diri ke saingan Jelajah Dunia Akhir.

“Bagi saya, permulaan tahun ini tidak baik dan tak sampai target.. tapi itu bukan pengakhiran bagi saya kerana saya dan Fei akan baiki balik,” kata Izzuddin.

Ditanya sama ada bersedia jika dipisah dan mendapat pasangan baru, Izzuddin berkata: “Saya terima sahaja, apa-apa yang terjadi saya anggap itu takdir saya, mungkin rezeki saya dekat partnership baru… saya terimalah.”

Izzuddin mengakui tiada masalah bergandingan dengan pemain muda dan selesa bersama Muhammad Haikal Nazri.

Mereka bergandingan di Cabaran Antarabangsa Malaysia Disember lalu dan muncul juara menewaskan Goh Szei Fei yang bergandingan dengan Goh Boon Zhe di final.

Sementara itu, Rexy berkata, Izzuddin kelihatan kurang gembira selepas gagal mencapai kemenangan dan perasaan itu penting bagi memastikan pemain masih berminat dan ada keinginan berjaya.

“Kita boleh lihat mereka (Izzuddin-Sze Fei) boleh bermain, tapi apabila mereka mendahului dan dikejar lawan, fire dalam diri mereka tiba-tiba hilang.

Goh Sze Fei dan Goh Boon Zhe turut mempamerkan keserasian dan prestasi baik apabila digandingkan di Cabaran Antarabangsa Malaysia.

“Jadi ini antara yang saya bincangkan dengan pemain, mereka mesti yakin antara satu sama lain. Keputusan sama ada mereka kekal bersama atau dipisahkan Izzuddin dengan Haikal.. seperti di Kejohanan Antarabangsa Malaysia, nanti kami bincangkan dan keputusan tidak boleh dibuat semudah itu,” kata Rexy.

Melihatkan saingan untuk memburu mata kelayakan Sukan Olimpik bermua Mei, semakin hampir, bekas pemenang pingat emas Olimpik itu mengakui amat sayang jika gandingan mereka dipisahkan.

“Saya harap tidak berpisah tapi jika itu perlu dilakukan, tiada pilihan. Seperti pasukan bola sepak, jika ada satu pemain yang membuatkan pasukan hilang semangat, tak guna kita sayangkan lagi kerana ia akan rosakkan seluruh pasukan.

“Untuk memburu mata ke Olimpik bukan hanya fokus kepada Izzuddin dan Sze Fei sahaja, begitu juga gandingan lain termasuk pemain muda.

“Malah, kita mahu pemain yang layak ke olimpik dengan harapan mendapatkan pingat, bukan sekadar mengambil bahagian sahaja,” katanya.

Petang semalam, Rexy dan Nur Izzuddin serta Sze Fei bertemu bagi membincangkan masa depan gandingan itu.