SELEPAS hampir dua tahun menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon menyatakan dia dapat melihat perubahan besar berlaku kepada skuad negara dan perkara ini membuatkan dirinya begitu bangga.

Sebelum ini, pengendali Korea Selatan itu menyatakan bahawa para pemain kebangsaan seakan-akan kurang keyakinan diri apabila bertemu pasukan dengan ranking lebih tinggi tetapi kini segalanya berubah dan Harimau Malaya semakin mendaki ranking dunia Fifa dari 145 ke 134 dalam tempoh satu tahun.

“Sejak dari hari pertama saya tiba hingga ke kem latihan terakhir di China bulan lalu, saya dapat melihat banyak perubahan dalam tahap keyakinan pemain untuk bertemu lawan yang berada di tangga ke-80 dunia apabila mereka kelihatan lebih tenang dan mampu bersaing.

“Namun, kita tidak boleh mudah berpuas hati kerana kita mahukan lebih lagi dan berharap kita dapat menewaskan pasukan yang mempunyai taraf yang sama seperti Syria dan China untuk mendapat mata, melakukan gerakan yang mengejutkan dan kekal dengan corak sebegitu,” katakan ketika sesi latihan hari pertama skuad kebangsaan di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Ditanya pihak media adakah dia risau dengan keadaan cuaca yang berjerubu ketika ini, Pan-gon dengan nada berseloroh mengatakan pemainnya sudah ‘dicipta’ untuk berhadapan dengan apa jua situasi.

“Saya rasakan badan dan DNA pemain Malaysia sudah bersedia dengan keadaan sebegini sama ada hujan atau panas. Saya tidak risau namun kami tetap akan mendapatkan sokongan daripada pasukan sains sukan dan pasukan perubatan untuk memastikan tidak ada pemain yang sakit atau tercedera,” jelasnya.

Malaysia dijadualkan bertemu India dalam perlawanan pertama pada 13 Oktober sebelum bertemu Tajikistan atau Palestin di perlawanan kedua pada 17 Oktober untuk Kejohanan Pestabola Merdeka yang kembali diadakan selepas 10 tahun.

Kesemua perlawanan akan dilangsungkan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang mempunyai padang baharu dan sambutan dari para penyokong sangat menggalakkan apabila lebih 20,000 tiket sudah dijual secara atas talian.