PELBAGAI persoalan timbul di kalangan penyokong yang ingin tahu status perjalanan pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon sama ada masih mahu meneruskan khidmatnya bersama Malaysia atau sebaliknya.
Perkara ini telah dijawab dengan penuh lantang dan jujur oleh jurulatih kelahiran Korea Selatan itu sendiri, yang mahu meneruskan perjuangannya bersama skuad Harimau Malaya untuk lebih lama lagi.
Menurutnya, bukan keinginan peribadi untuk dia melakukan pusingan ‘u-turn’ dan memilih untuk tidak membimbing skuad kebangsaan negara lagi, walaupun mengakui bahawa ia merupakan satu perjalanan yang amat berliku.
“Saya perlu kekal di sini. Tetapi jika ada yang memaksa saya untuk pergi, jadi saya terpaksa pergi. Saya di sini meletakkan usaha yang tinggi kepada pasukan, memang penat tetapi akhirnya kita berjaya juga berikan saingan.
“Jadi keputusan saya adalah untuk tinggal di sini, saya tak pernah kata untuk pergi,” ujarnya ketika dalam sidang media selepas tamat perlawanan pada (Selasa).
Dalam pusingan akhir Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Chinese Taipei pada Selasa, anak buah Pan Gon telah tampil menyerlahkan aksi cemerlang sekali gus memberi kemenangan 3-1 buat Malaysia.
Walaupun kejayaan itu tidak membuahkan hasil lumayan, dalam erti kata lain tidak dapat merealisasikan impian semua orang untuk melihat Malaysia layak ke pusingan Piala Dunia 2026 seterusnya, namun Pan Gon akui pemain-pemain telah menampilkan aksi terbaik.
“Dari minit pertama saya suruh mereka ambil risiko dan ianya berjalan dengan baik seperti yang dirancang. Hanya ada beberapa kesilapan yang dilakukan dan kebanyakkannya kesilapan taktikal.
“Separuh masa kedua kita berjaya dominasi semula perlawanan dan akhirnya kita menang, ia merupakan satu keputusan yang positif. Kita semua perlu bangga dengan pasukan Malaysia dan terus pandang ke hadapan,” tambah Pan Gon.