JURULATIH skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mendedahkan pemilihan Turkmenistan sebagai medan pertembungan ujian pada aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Sultan Ibrahim pada Khamis.

Menurut Pan-gon, lawan yang ditemui kali kedua dalam tempoh sembilan bulan dijangka hadir menebus kekalahan di kelayakan Piala Asia 2023.

“Strategi kami jemput satu pasukan yang berada di atas dan satu pasukan setara dalam ranking Fifa (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa).

“Turkmenistan alami kekecewaan kalah kepada kita tempoh hari, jadi mereka datang dengan penuh bersemangat bertemu Malaysia dan menunjukkan sesuatu.

“Kami gembira dijemput lakukan perlawanan persahabatan dan mereka pasti hadir untuk balas dendam semula. Saya rasa satu perlawanan menakjubkan malam esok.

“Satu perkara terpenting, kami tekankan sistem fleksibel dan informasi, ia adalah objektif kami pada perlawanan ini.

“Tidak mengenai keputusan tapi melihat persembahan dan kami akan tunjukkan kepada mereka falsafah dan DNA Malaysia,” kata Pan-gon pada sidang media pra perlawanan di Hotel Thistle, Johor Bahru pada Rabu.

Hadir sama, kapten pasukan, Dion Cools.

Menentang Turkmenistan yang berada di ranking 135 dunia bukan lawan asing kerana kedua-dua pasukan pernah bertembung tahun lepas di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ketika perlawanan kelayakan Piala Asia 2023 Jun tahun lepas, Harimau Malaya mencipta kemenangan sensasi 3-1 ke atas Karakum Warrior walaupun skuad kebangsaan tidak menampilkan wajah-wajah regular.

Pada masa sama, jurulatih berusia 53 tahun kelahiran Korea Selatan itu akui pengalaman pertama bersama staf kejurulatihan mengharungi perlawanan bola sepak dalam bulan Ramadan kerana majoriti pemain Malaysia beragama Islam.

“Ini merupakan kali pertama saya dan barisan kejurulatihan mengendalikan latihan pasukan dalam bulan Ramadan.

“Kami dah bincang bersama pengurusan dan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai persiapan Ramadan, sesi latihan dan nutrisi. Semua dirancang awal dan selain bagaimana mereka bersedia dari segi fizikal dan mental ketika berpuasa.

“Saya harap pemain sentiasa cergas, menunjukkan tahap profesionalisme dan cuba memberikan persembahan baik kepada peminat,” katanya.

 

Untuk rekod, Malaysia berada di kedudukan ranking ke-145 senarai Fifa. Pencapaian terbaik negara adalah menduduki ranking ke-75 dunia pada 1993 manakala rekod terburuk pula adalah ketika berada di tangga ke-176 dunia pada 2018.

Selepas menghadapi Turkmenistan pada Khamis, Malaysia bertemu Hong Kong menjelang 28 Mac dengan kedua-dua aksi akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim.