PENGENDALI skuad kebangsaan, Kim Pan-gon mahu menggunakan kesempatan bermain di tempat lawan sebagai medan untuk menguji kekuatan mental para pemain kerana sedar bukan mudah untuk bermain di laman lawan.

Setelah lebih setahun setengah mengendalikan pasukan, Pan-gon mahu memperbaiki rekod apabila beraksi di luar Malaysia dan juga sebagai persediaan untuk menghadapi perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026 dan Piala Asia 2027 terutama apabila beraksi di laman lawan.

“Semua perlawanan di tempat lawan adalah sukar. Beraksi di tempat sendiri kita hanya tewas sekali kepada Bahrain tetapi apabila bermain di tempat lawan kita tewas kepada Vietnam dan Thailand.

“Perlawanan di tempat lawan berbeza dari segi keadaan, penyokong dan segalanya. Kita akan menghadapi Kelayakan Piala Dunia dan Piala Asia secara ‘home and away’ dan juga perlawanan di tempat lawan sangat penting termasuk semua perlawanan Piala Asia tahun hadapan di tempat lawan.

“Ianya baik buat kita dan akan gunakan kesempatan ini untuk mendapatkan pengalaman beraksi dengan pasukan lain di tempat lawan,” katanya ketika ditemui di hari pertama sesi latihan rasmi Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya.

Pan-gon juga mengakui masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki dalam pasukannya terutamanya kekuatan mental dan mahu perkara ini diatasi terutama apabila berhadapan pasukan yang lebih besar.

“Selepas menjaringkan gol, pemain seakan tidak percaya kepada diri mereka. Mendahului perlawanan menjadikan mereka tidak selesa dan kita perlu selesa dalam keadaan itu dan tidak mudah terperanjat.

“Perkara ini berkaitan psikologi, mentaliti dan keyakinan yang kita perlu perbaiki begitu juga bahagian pertahanan yang bagus tetapi mengikut statistik yang kami ada, kita sering dibolosi antara minit ke-75 hingga ke-90.

“Kita perlu kekal fokus sepanjang 90 minit perlawanan dan bemain di laman lawan ini adalah ujian sebenar buat para pemain,” jelasnya.

Malaysia akan berlepas ke Chengdu, China untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Syria dan China dengan Pan-gon mahu memastikan rentak cemerlang Harimau Malaya dapat dikekalkan sekaligus memperbaiki ranking dunia.