KETUA jurulatih bola sepak Harimau Malaya, Kim Pan-gon enggan memikirkan rekod pertemuan sejarah lepas kedua-duanya pasukan yang menyaksikan Malaysia tewas 2-0 di tangan Papua New Guinea pada 17 Jun 2016 di Stadium Sir John Guise (Port Moresby).

Namun, tahun yang sama, Malaysia pula bangkit menebus kekecewaan untuk menang 2-1 di Stadium Shah Alam.

Jelas Pan-gon, apa yang mustahak pada malam esok adalah mengekalkan momentum mencari rentak kemenangan bermain di gelanggang sendiri.

“Saya tak peduli tentang sejarah (rekod pertemuan) kedua-dua negara. Kami cuba mencipta kebiasaan (raih kemenangan) dan membina kubu di rumah.

“Saya fikir kali ini lebih fokus. Bagaimana kita mahu bermain, bagaimana kita mahu menyerang, bagaimana kita mahu mempertahankannya.

“Apa yang berlaku pada masa lalu kerana skuad kami telah banyak berkembang sejak itu dan saya yakin skuad ini juga telah banyak berkembang. Jadi ia akan menjadi permainan yang sama sekali berbeza,” katanya dalam sidang media di Kuala Nerus, Terengganu pada Isnin.

 

Dalam pada itu, jurulatih dari Korea Selatan ingin melihat persaingan dalam kalangan pemain terus meningkat dalam usahanya membentuk skuad terbaik terutama menghadapi saingan Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari tahun depan.

“Saya mahu menjadikan mereka (pemain) terus bersaing antara satu sama lain. Saya mahu mereka rasa tiada kesebelasan utama yang tetap, sesiapa sahaja boleh berada dalam skuad utama. Persekitaran begini yang saya gemari,” katanya.

Pan-gon berharap anak buahnya terus menerapkan falsafah pasukan, bersikap agresif dan mengawal keseluruhan perlawanan, di samping mengurangkan kesalahan teknikal dalam permainan.

Malaysia akan menghadapi Papua New Guinea di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin pada Selasa malam.

Terdahulu, skuad negara membenam sebuah lagi negara benua Oceania, Kepulauan Solomon dengan kemenangan sensasi 4-1, Rabu lalu.