KETUA jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon merasai semangat yang sama dengan para penyokong Malaysia dan mahu berjuang bersama-sama ketika menghadapi Oman dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Khamis (Jumaat waktu Malaysia).
Pan-gon ketika ditemui pada sesi sidang media pra perlawanan di Muscat jelas berpuas hati dengan persiapan pasukan meskipun menghadapi beberapa kekangan seperti kecergasan pemain dan pertukaran jurulatih pasukan lawan.
Dia turut yakin anak-anak buahnya dapat memberikan aksi terbaik ketika berdepan pasukan di tangga ke-80 dunia itu sekaligus memberikan kegembiraan buat seluruh rakyat Malaysia menjelang aksi seterusnya di Bukit Jalil.
“Sejak bermula kem latihan, kami berdepan banyak halangan tetapi kini semuanya berjalan lancar dan harap dapat berikan aksi kompetitif. Kami menyasarkan sekurang-kurangnya satu mata untuk memberikan kegembiraan kepada rakyat Malaysia.
“Salah satu kesukaran adalah kami tidak mempunyai ‘match fitness‘ walaupun kami mendapat satu perlawanan ujian berdepan Nepal. Tetapi ini yang perlu kami hadapi dan pemain menunjukkan kesungguhan untuk aksi ini.
“Satu lagi perkara yang menyukarkan kami adalah Oman bertukar jurulatih kerana kami sudah mengkaji mereka sebelum ini tetapi kami akan gunakan rekod dan karakter taktikal yang ada padanya dan pemain sebagai rujukan namun perkara ini tidak menggangu kami,” katanya.
Pengendali asal Republik Korea itu juga gembira dengan keadaan pasukan ketika ini dimana Malaysia adalah satu-satunya pasukan dibawah ranking ke-100 dunia yang sedang mendahului kumpulan dan dia yakin dengan semangat yang ada pada setiap pemain untuk layak ke peringkat seterusnya.
“Saya bangga dengan pasukan ini kerana muncul pasukan pertama bukan dari Pot 1 untuk mendahului kumpulan dan ini adalah motivasi terbaik untuk kekalkan kedudukan ini dan harap rakyat Malaysia berikan sokongan.
“Kami tahu semua penyokong akan menyokong kami dan itu berikan kami semangat tambahan untuk bertemu Oman. Ia memberikan rasa kami berjuang dan bersaing bersama-sama penyokong dan saya ucapkan terima kasih kepada sokongan yang rakyat Malaysia berikan,” jelasnya.
Sebarang keputusan positif ketika bertemu Oman akan memastikan Malaysia kekal di tangga teratas Kumpulan D sekali gus membawa semangat buat perlawanan menentang lawan yang sama di Bukit Jalil pada 26 Mac nanti.