Komentar oleh: MOHD FARIQ

Foto: FAM

SEBUAH bilik persidangan besar yang boleh memuatkan 50 orang di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya, seolah-olah bergegar dengan senario malam ini.

Atas inisiatif Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin bin Amin, sekumpulan pemain teras Harimau Malaya dipertemukan dengan sekumpulan legenda yang pernah mengharumkan nama Malaysia dalam Pestabola Merdeka.

Begitu banyak cebisan-cebisan sejarah bola sepak negara disandarkan di bahu mereka, dirancang bertemu bagi membakar semangat Harimau Malaya versi terkini yang akan berdepan Tajikistan dalam final Pestabola Merdeka 2023 malam esok (Selasa)

Datuk Soh Chin Ann mengetuai barisan legenda yang dibawa bertemu dengan Ahmad Syihan Azmi, Faisal Abdul Halim, Akhyar Rashid, Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid dan Darren Lok sebagai sebahagian usaha pengurusan FAM menyuntik semangat skuad Harimau Malaya.

Barisan legenda yang dipelawa merentasi zaman, meliputi empat dekad berbeza.

“Sempena memperingati jasa wira negara ini dan seiring dengan final Pestabola Merdeka, saya satukan legenda dan pemain sekarang agar kita dapat sama-sama mendapatkan buah fikiran dalam menaikkan lagi prestasi dan mutu bola sepak negara khususnya Harimau Malaya.

“Selain berpeluang beramah mesra dan saling mengenali antara satu sama lain, sesi ini membuka ruang untuk setiap bekas pemain yang hadir termasuk jurulatih Kim Pan Gon menyuarakan pandangan secara telus dan terbuka dalam usaha bersama memajukan serta memperbaiki lagi prestasi Harimau Malaya,” jelas Hamidin.

Chin Ann ditemani rakan sepasukan daripada skuad Olimpik 1980, Datuk Santokh Singh, Datuk Jamal Nasir Ismail, Datuk Hassan Sani dan Bakri Ibni serta rakan seangkatan Reduan Abdullah.

Wakil penghujung 1980-an dan awal 1990-an pula diketuai Datuk Zainal Abidin Hassan, Datuk Dollah Salleh, Datuk Subardron Aziz, Azman Adnan serta Malek Rahman, manakala era 2000-an diwakili bekas kapten, Ahmad Shahrul Azhar Sofian dan Shukor Adan.

Melengkapkan barisan unggul ini trio yang merangkul Piala AFF pada 2010, diketuai ketua jurulatih, Datuk K. Rajagobal, ditemani Safee Sali dan Norshahrul Idlan Talaha.

Mereka nama-nama besar yang disanjung zaman pra-internet dan media sosial belum melingkari kehidupan manusia.

Namun mesej yang cuba disampaikan kekal relevan sepanjang zaman.

Majlis yang diilhamkan oleh Hamidin, asalnya bertujuan membolehkan FAM mengumpul pandangan dan saling bertukar pendapat dengan barisan legenda dalam membangunkan bola sepak di peringkat akar umbi dan elit.

Setiap legenda diberi ruang memberi pandangan. Dalam celah-celah percambahan idea itu, ketua jurulatih Kim Pan Gon dan dua penolongnya, E. Elavarasan dan Pau Marti, tampil ditemani enam pemain negara tersebut.

Hadirnya Pan Gon mengundang pelbagai reaksi barisan legenda, yang teruja diberi ruang bertanya soalan serta menghulurkan pendapat kepada jurulatih dari Korea Selatan itu.

Bagi menutup tirai kepada sesi ramah mesra itu, Rajagobal dipilih mewakili barisan tetamu untuk memberi sepatah dua kata.

Buat seketika, bilik persidangan bertukar menjadi bilik persalinan,

Rajagobal yang sehingga hari ini menjadi satu-satunya jurulatih yang merangkul Piala AFF, mengeluarkan kata-kata merangsang semangat yang hadir, apatah lagi enam pemain negara yang kelihatan teruja.

FAM tidak pernah putus idea untuk menghulurkan sokongan moral buat Harimau Malaya.

Tahniah diucapkan buat Hamidin dan pucuk pimpinan serta kakitangan FAM yang dilihat puas dengan aturcara yang disusun.

Hajat membakar semangat Ahmad Syihan dan rakan-rakan tercapai.

Sebagai balasan, kemenangan adalah dituntut Selasa malam.

Kemenangan malam esok harus memastikan anak buah Pan Gon berada di landasan betul menjelang ujian sebenar – pusingan kelayakan Piala Dunia dan seterusnya pusingan akhir Piala Asia AFC 2023 di Doha Januari depan.

Yang jelas, barisan legenda negara berdiri di belakang Harimau Malaya.