DUA olimpian, Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri sedar, kegagalan menempah slot ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, boleh menggugat kedudukan mereka dalam program Road to Gold (RTG).
Bagai segala-galanya tidak menjadi buat skuad terjun negara, ketika menyertai Kejohanan Akuatik Dunia, Doha minggu lalu, apabila tiada seorangpun penerjun meraih slot ke Paris 2024.
Paling mendukacitakan tentunya Pandelela, yang terlepas peluang beraksi di Sukan Olimpik buat kali kelima selepas terkandas awal dalam acara 10 meter (m) plaform individu, selain menamatkan saingan seirama bersama Dhabitah, di tempat ke-12 keseluruhan.
“Saya memang sudah tahu, RTG ini ada keistimewaannya tapi tak bermakna ia meletakkan atlet dalam zon selesa, anda perlu buktikan yang anda layak untuk berada dalam program itu.
“Saya terima sahaja apa keputusan yang akan diputuskan dan saya berterima kasih kepada pihak RTG yang selama ini menyokong dan membantu saya misalnya pertolongan yang dihulurkan ketika Sukan Asia Hangzhou. Cuma tuah tidak berpihak kepada saya untuk Sukan Olimpik kali ini,” kata Pandelela yang tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) pada Isnin.
Nada hampir sama disuarakan Dhabitah: “Saya tidak kisah, seperti yang saya katakan, saya tahu saya tidak beraksi seperti yang saya mahukan.
“Saya memilih untuk menunggu sebelum membuat sebarang perancangan untuk diri saya, kerana saya sudah kecewa,” kata Dhabitah.
Dhabitah beraksi dalam kesakitan sepanjang minggu lalu, gagal menampilkan persembahan terbaik dalam acara kegemarannya, 3m papan anjal, apabila menamatkan saingan di kedudukan ke-24 dengan mengumpul 238.15 mata.
Skrip sama dalam acara 3m papan anjal seirama apabila Dhabitah dan Wendy Ng hanya meraih 258.30 mata untuk berada di tempat kesembilan, sekali gus gagal menamatkan saingan di kedudukan empat terbaik untuk layak ke Paris.
November lalu, jawatankuasa RTG mengugurkan skuad hoki lelaki daripada program itu setelah gagal meraih pingat emas di Sukan Asia Hangzhou yang menawarkan slot benua ke Paris, serta dua beregu campuran negara, Shevon Lai-Goh Soon Huat dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang mengalami penurunan mendadak dalam ranking kelayakan Olimpik.