KEM terjun negara bermula dengan pingat gangsa menerusi Datuk Pandelela Rinong-Nur Dhabitah Sabri, menerusi acara 10 meter (m) platform seirama wanita di temasya Sukan Asia Hangzhou 2022.

Keputusan itu menyaksikan Pandelela-Nur Dhabitah mengulangi pencapaian gangsa yang diraih Nur Dhabitah-Datuk Leong Mun Yee pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia.

Pada final, lima negara bersaing di Pusat Akuatik Taman Sukan Olimpik Hangzhou, namun Pandelela-Nur Dhabitah gagal meneruskan rentak cemerlang di awal saingan untuk sekadar mengumpul keseluruhan 266.94 mata selepas lima terjunan.

Pasangan juara dunia 2023 dari China Quan Hongchan-Chen Yuxi menampilkan terjunan yang memukau penonton tuan rumah untuk meraih 375.30 mata sekali gus meraih emas.

Perak menjadi milik gandingan Jepun Matsuri Arai-Minami Itahashi dengan mengutip 290.04 mata.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam acara itu adalah memenangi perak menerusi Pandelela-Mun Yee pada edisi 2010 di Guangzhou, China.