RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong mengharapkan program Road to Gold (RTG) dapat mengembalikan perkhidmatan sokongan yang diperlukan skuad terjun negara, ketika menjalani latihan dan menyertai kejohanan antarabangsa.
Jelas pemenang pingat gangsa 10 meter (m) platform individu Olimpik London dan perak 10m platform seirama Olimpik Rio itu, menerusi RTG, sepatutnya keperluan atlet yang berada dalam program terbabit, dipenuhi.
“Ya saya dan Nur Dhabitah (Sabri) berada dalam RTG, jadi harap mendapat support service lebih konsisten lah, jangan sekejap ada sekejap tak ada.
“At least ada attach masseur, apabila pergi kejohanan begitu juga biomekanis.
“Ye laa.. now we follow sports science kan, tak kan apabila you pergi competition you tak bawa sports science team pergi,” kata Pandelela, ditemui pada Kejohanan Terjun Kumpulan Umur Jemputan Malaysia ke-58 (MIAG), di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil.
Malah, perkhidmatan sokongan dari Institut Sukan Negara (ISN) itu juga katanya, bakal mencerminkan sejauh mana kemampuan atlet negara membawa pulang pingat emas pertama di sukan Olimpik.
Menurutnya, perkhidmatan sokongan sains sukan itu disediakan dengan baik ISN pada Temasya Olimpik London dan Rio, namun tidak di Tokyo.
“Di Tokyo tak ada perkhidmatan sokongan ini khas untuk skuad terjun kerana menurut pengurusan, kontinjen dihadkan membawa pegawai. Perlu berkerja sebagai satu pasukan untuk menjadikan misi (emas pertama) tidak mustahil.
“Kalau hanya jurulatih dan atlet terjun berkerja mahu menjayakannya, lain-lain tidak, tidak menjadi juga… perlukan kerjasama satu pasukan.”
Berbekalkan pasukan sokongan yang bersama-sama atlet ke mana juga mereka pergi, Pandelela berjaya meraih pingat di London dan Rio.
“Saya tidak bertambah muda, penerjun lain juga sama dan mereka memerlukan video analisa ketika latihan dan kejohanan.
“Kalau mahukan keputusan konsisten, kalau perkhidmatan sokongan tak kpnsistem susqh juga” kata Pandelela lagi.
Sementara itu, Pandelela menjuarai kejohanan MIAG 10m platform individu selepas mencatat 326.05 mata daripada lima terjunan, mengatasi pemain remaja negara Nur Elisha Rania Mohamad Abrar Raj kedua dan penerjum Singapura, Ong Rei En ketiga.