RATU terjun negara, Datuk Pandelela Rinong kembali menemui rentak kemenangan selepas meraih emas di FINA Diving Grand Prix (GP) Malaysia di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.
Pandelela yang bergelut mendapatkan semula rentak kemenangan di beberapa kejohanan sebelum ini, mengungguli acara 10 meter (m) platform wanita selepas meraih keseluruhan 324.70 mata menewaskan tiga lagi peserta final.
Pingat perak milik penerjun Australia, Milly Puckeridge (289.90 mata), manakala Kim Nahyun dari Korea Selatan (254.10 mata) pingat gangsa.
Kejuaraan itu tentunya menjadi azimat buat penerjun berusia 29 tahun itu selepas berputih mata di Piala Dunia, Berlin bulan lalu, selain pulang dengan tangan kosong pada temasya Sukan Komanwel Birmingham pada Ogos.
“Saya rasa prestasi pada sebeleh petang lebih baik dan konsisten berbanding pusingan awal dan separuh akhir pada pagi tadi, namun perlu perbaiki dari segi taktikal dan terjunan. Saya perlu pertingkatkan kecergasan kerana apabila perlu beraksi dua atau tiga pusingan dalam satu hari, ia agak mencabar dari segi fizikal.
“Bagaimanapun pertandingan macam ini sangat baik untuk saya, selepas sebelum ini banyak pertandingan dibatalkan kerana pandemik Covid-19. Jadi pertandingan berterusan sangat penting untuk kembali kepada normal,” jelas Pandelela yang masih mempunyai satu lagi acara iaitu 10m platform seirama Ahad ini apabila bergandingan dengan Nur Dhabitah Sabri.
ARTIKEL BERKAITAN : Pandelela azam tebus kegagalan di FINA Diving Grand Prix 2022
Selain Pandelela, seorang lagi wakil negara turut berjaya menyumbang pingat emas pada hari pertama kejohanan iaitu Ooi Tze Liang dalam acara 3m papan anjal.
Tze Liang menggondol 441.35 mata, yang juga catatan terbaik pada musim ini, sementara rakan senegara, Chew Yi Wei membawa pulang pingat perak selepas meraih 406.90 mata.
Pingat gangsa pula milik penerjun Asutralia, Ichlan Cronin dengan meraih 402.20 mata.