GANDINGAN beregu campuran bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei mahu merebut satu slot ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Pasangan yang baharu melonjak ke ranking ke-30 dunia itu,  tidak gentar dengan cabaran dua gandingan profesional negara berada di kedudukan lebih baik berbanding mereka ketika ini.

Menurut Pang Ron, kedudukan ranking dua gandingan profesional negara yang berada di kelompok 20 terbaik dunia itu, dijadikan motivasi untuk menampilkan prestasi terbaik.

“Saya dan Ee Wei bersedia untuk berjuang habis-habisan bagi membuat kemunculan sulung di pentas Sukan Olimpik,” katanya yang ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, melayakkan diri ke Olimpik adalah satu impian buat mana-mana pemain termasuk dirinya sendiri.

“Kami akan berjuang habis-habisan untuk layak tetapi saya tahu, kami perlu memperbaiki setiap kelemahan yang ada.

“Memandangkan kejohanan seterusnya adalah pada Terbuka Malaysia Januari depan, jadi kami ada masa untuk tingkatkan kombinasi. Saya tahu ada beregu di luar sana (profesional), namun persaingan itu dapat membantu kami menjadi lebih baik,” katanya.

Pang Ron-Ee Wei yang awal bulan ini berada di kedudukan ranking ke-34 dunia, melonjak empat tangga dan ketika ini memegang status sebagai pasangan paling senior dalam skuad kebangsaan selepas Chan Peng Soon-Cheah Yee See meninggalkan BAM.

Walaupun mengakui ia tanggungjawab yang besar, Pang Ron menegaskan dia sentiasa bersedia untuk menjadi contoh terbaik buat rakan sepasukan yang lain.

“Memang sudah jangka (jadi senior) kerana dari semasa ke semasa sentiasa ada pemain yang keluar dan bertukar-tukar, oleh itu saya memang bersedia untuk ambil tanggungjawab sebagai pemain senior.

“Bagi saya, ini boleh dianggap sebagai lumrah hidup dan saya juga tidak boleh nak berada dalam zon selesa sahaja. Jika mahu meningkat, kami perlu berani untuk berdepan cabaran,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Ketika ini Goh Soon Huat-Shevon Lai berada di ranking ke11 dunia, manakala Tan Kian Meng-Lai Pei Jing di ranking ke-8 dunia.