SIRI jelajah Eropah akan dijadikan batu loncatan buat beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing, untuk memastikan mereka tersenarai dalam skuad Piala Sudirman yang akan berlangsung di Suzhou, China dari 14 hingga 21 Mei depan.

Justeru, mereka perlu menghasilkan keputusan positif apabila beraksi dalam siri kejohanan di Eropah bermula Terbuka Jerman 7 hingga 12 Mac ini.

Mei Xing berkata mereka meletakkan sasaran untuk sekurang-kurangnya mara ke suku akhir kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 300 itu.

“Dalam tempoh dua minggu ini, persiapan untuk ke Terbuka Jerman berjalan dengan baik walaupun keserasian saya dan Pang Ron masih berada pada tahap 80 peratus. Kami perlu tingkatkan konsistensi dalam gelanggang,” katanya, sambil mengakui kekurangan pengalaman dalam beregu campuran memaksanya untuk mendapat lebih banyak pendedahan.


Pang Ron-Mei Xing kini di kedudukan ranking ke-66 dunia tidak disenaraikan dalam skuad negara ketika Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2023, bulan lalu.

Pada Terbuka Jerman, Pang Ron-Mei Xing berdepan laluan berliku seawal pusingan pertama apabila diundi bertemu rakan senegara, Tang Jie-Ee Wei, lawan yang pernah menewaskan mereka sebanyak dua kali sebelum ini.

Mei Xing, bagaimanapun tidak terlalu memikirkan soal rekod pertemuan mereka apabila menyifatkan setiap pasangan mempunyai peluang sama rata sebaik melangkah masuk ke dalam gelanggang selain menganggap percaturan strategi bakal menjadi penentu perlawanan.

“Pusingan pertama kami akan bertemu Tang Jie-Ee Wei, jadi kami hanya perlu tampilkan aksi terbaik. Peluang adalah seimbang setiap kali masuk gelanggang kerana kami sudah tahu kelemahan masing-masing,” katanya.

Selepas Terbuka Jerman, Pang Ron-Mei Xing turut dijadual beraksi dalam tiga lagi kejohanan di Eropah iaitu Terbuka Switzerland dari 21 hingga 26 Mac; Masters Sepanyol (28 Mac hingga 2 April) dan Masters Orleand (4 hingga 9 April).