PELARI 200 meter (m) lelaki negara, Pengiran Aidil Auf Hajam enggan melepaskan peluang terakhirnya untuk beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 tahun (B-20)di Lima Peru Ogos depan, dan mahu melepasi kelayakan di Kejohanan Olahraga Asia B-20, yang bermula esok.
Aidil, 19, dari Sabah yang akan berlari dalam acara 200 meter (m) yakin mampu layak ke Lima sekali gus melakukan catatan minimum 21.40s.
Ketika ini, Aidil menjadi harapan terbaik negara untuk melayakkan diri ke Kejohanan Olahraga Dunia B-20 yang berlangsung di Lima, Peru 27 hingga 31 Ogos depan, dan Aidil mempunyai masa sehingga tiga minggu sebelum kejohanan bermula, untuk mendapatkan masa kelayakan tersebut.
Mengakui berada pada tahap prestasi terbaik dan bersedia untuk memburu slot ke Peru, dia yakin mampu melepasi catatan masa kelayakan itu selepas mencipta rekod terpantas 21.37s ketika memenangi gangsa di Kejohanan Olahraga Asia B20 Yecheon, Korea pada Jun tahun lalu dan juga mencipta rekod peribadi terbaik 21.36s di Terbuka Singapura pada April 2023.
“Harapan saya sewaktu menyertai kejohanan di Dubai ini ialah untuk mencapai sasaran layak ke kejohanan dunia di Peru nanti. Saya mahu membuat terbaik untuk melepasi kelayakan 21.40s yang ditetapkan.
“Saya yakin mampu melakukannya kerana catatan masa terbaik peribadi saya ialah 21.36s. Jadi, saya perlu bekerja keras untuk melakukan sekali lagi di Dubai nanti.
“Malah, saya bebas kecederaan dan harap mampu memberi sehabis baik di sana nanti,” katanya, ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J Ballard meletakkan harapan cukup tinggi kepada atlet-atlet muda negara untuk mendapatkan slot ke Peru biarpun langkah tersebut sedikit sukar terutama pencabar negara-negara lain.
“Ketika ini, saya lihat ada beberapa atlet mampu ke Peru terutamanya atlet 200m, Pengiran Aidil kerana dia mempunyai peluang untuk ke kejohanan dunia.
“Apapun, sasaran saya buat 20 atlet yang ke Dubai ini mereka mampu ke pentas final dan saya yakin pelari mudah negara ini mampu melakukannya.
“Jika mereka mara ke final, apapun boleh terjadi terutamanya termasuk menaiki podium. Saya jangkakan pasukan relay (lari berganti-ganti) lelaki mampu melakukannya.
“Apapun, kejohanan ini adalah satu daripada pembangunan yang menjadi penanda aras sebelum ke Sukan SEA dan juga Sukan Asia tidak lama lagi. Saya tidak mahu membuka laluan mudah buat mereka menyertai skuad negara tetapi mereka perlu mencapai sasaran dan menunjukan pencapaian sebelum mereka pentas seterusnya,” ujarnya.